Bekas pertahanan Liverpool iaitu Aly Cissokho kini dilaporkan sah menjadi milik Muangthong United selepas ianya dinyatakan sendiri oleh laman berkenaan di media sosial sebentar tadi secara rasmi.
Nama Aly sebenarnya bukan lagi suatu yang asing buat bola sepak di Thailand, selepas dirinya pernah beraksi buat Lamphun Warrior selama beberapa musim di saingan divisyen kedua serta utama.
Malah, Semuanya BOLA secara eksklusif pernah bertemu dengan pemain tersebut pada tahun 2022 serta Aly sendiri mengakui cukup kenal akan saingan Liga Malaysia serta kelab di sini.
Ketika ditemu ramah, Aly ketika itu pernah menyatakan dirinya mengetahui akan kelab di negara ini sambil memuji peningkatan daripada segi kualiti permainan ditampilkan terutama sekali Johor Darul Ta’zim (JDT).
Malah, sumber kami terima sebelum itu juga menyatakan Aly hampir untuk menyertai Kedah bagi saingan musim 2023 sebelum ianya gagal diterjemahkan atas beberapa sebab.
Selain Kedah, Aly sebenarnya turut mengenali Johor Darul Ta’zim (JDT) serta menyimpan hasrat untuk beraksi buat pertama kali di Malaysia bersama kelab-kelab lain jika diberi peluang.
“Pasukan dalam Malaysia? Ya, saya sangat menyukai bola sepak di sana yang dianggap semakin meningkat kebelakangan ini.
“Saya tahu salah satu pasukan yang sangat kuat di sana, dan kelab lain dilihat setiap tahun cuba mencabar mereka iaitu Johor.
“Saya rasa ia mungkin cadangan sesuai untuk beraksi di sana, tetapi ketika ini saya gembira di Thailand dan masih lagi mempunyai baki kontrak bersama kelab,” jelas Cissokho kepada Semuanya BOLA.
Untuk rekod, Aly menjadi watak penting untuk membawa Lamphun beraksi di pentas tertinggi Thailand pada musim 2022/2023 selain memiliki pengalaman cukup luas di Eropah.
Nama Aly boleh dianggap cukup besar ketika berada pada prestasi terbaik apabila beliau pernah mewakili skuad kebangsaan Perancis serta beraksi di Eropah bersama beberapa kelab terkemuka.
Liverpool, Aston Villa, Valencia, FC Porto antara kelab pernah disertai Aly sebelum dirinya membuka lembaran baharu di Asia Tenggara bersama Lamphun dalam saingan divisyen kedua Thailand.
Bersama Muangthong, pastinya pengalaman luas dimiliki Aly ditagih untuk memastikan pertahanan kelab tersebut berada pada tahap terbaik bersama rakan sepasukan lain.