Penjaga gol Indonesia, Maarten Paes kini berada sebaris bersama para pemain bintang handalan dunia untuk diletakkan dalam satu pasukan, MLS (Major League Soccer) All Stars tidak lama lagi.
Paes yang kini beraksi di Amerika Syarikat bersama FC Dallas menjadi satu-satunya wakil kelab tersebut untuk terpilih menyertai MLS All Stars sebaris bintang handalan lain.
Untuk rekod, Paes merupakan pemain warisan baharu dari Belanda buat Sang Garuda serta beliau beraksi di posisi penjaga gol.
Walaupun begitu, Paes masih lagi belum membuat sebarang penampilan buat Sang Garuda di pentas antarabangsa bawah kendalian Shin Tae-yong walaupun sudah sah mendapat kerakyatan negara tersebut.
Menurut pemain tersebut, beliau jelas sangat gembira selepas dirinya terpilih mewakili pasukan tersebut untuk menentang Liga MX All-Stars dari Mexico pada 25 Julai nanti.
“Terima kasih, tujuan kita semua telah tercapai untuk terpilih bersama MLS All Star, dan sudah tentu khas buat penyokong Indonesia.
“Saya ingin jadi wakil Indonesia di MLS dengan sebaik mungkin serta bersama kelab diwakili kini iaitu FC Dallas,” ulas beliau seperti dilaporkan oleh CNN Indonesia.
Paes terpilih untuk menyertai senarai 30 pemain daripada saingan MLS untuk kejohanan ini bersama ramai nama-nama besar selain jaguh Argentina, Lionel Messi.
Selain Messi, nama besar lain ialah bekas penyerang berbisa Barcelona iaitu Luis Suarez, Sergio Busquets, Jordi Alba, Christian Benteke, Federico Bernardeschi, serta Hugo Lloris.
Melihat dirinya bakal beraksi bersama bintang-bintang handalan dunia, pemain Sang Garuda itu mengakui beliau enggan untuk mensia-siakan peluang diberi untuk meraih sebanyak mungkin pengalaman berguna.
Untuk posisi penjaga gol MLS All Stars, Paes bakal bersaing bersama Roman Burki dari St. Louis City dan pemain handalan dunia iaitu Hugo Lloris daripada LAFC demi merebut kesebelasan utama pada aksi tersebut.
Apapun, aksi Paes di MLS kini sangat baik dan sudah tentu pengalamannya ditagih oleh Shin untuk aksi antarabangsa akan datang serta bersaing sengit bersama penjaga gol tempatan, Ernando Ari bagi merebut kesebelasan utama buat Sang Garuda.