Penang boleh dianggap sebagai antara pasukan paling menyedihkan pada awal musim ini walaupun mereka sebenarnya tampil dengan beberapa rombakan dalam kalangan pemain serta kejurulatihan.
Dua musim tampil tanpa sebarang pencapaian menyakinkan, sudah tentu mereka perlu bangkit kali ini untuk terus mengembalikan keyakinan buat para penyokong.
Namun, sebaliknya pula berlaku apabila mereka masih gagal untuk meraih sebarang kemenangan daripada enam perlawanan telah dilalui termasuk aksi Piala FA.
Malah aksi pertama Piala FA juga sebenarnya tidak boleh dikira sebagai kemenangan kerana mereka melayakkan diri ke pusingan seterusnya menerusi penentuan sepakan penalti bagi mengatasi Sri Pahang, selepas masing-masing terikat seri 1-1.
Empat seri bersama dua kekalahan kini menyaksikan Penang mungkin perlu memikirkan solusi seterusnya untuk meraih keputusan lebih baik pada masa hadapan.
Malah, kesalahan juga tidak boleh diletakkan sepenuhnya buat Akmal Rizal Ahmad Rakhli kini yang dianggap sudah menjalankan tugas dengan baik walaupun dihadkan oleh beberapa perkara.
Berikut merupakan tiga perkara perlu diambil ‘cakna’ oleh pasukan tersebut demi mencipta beberapa perubahan baharu pada masa hadapan.
Tambah kuota import
Penang ketika ini hanya mempertaruhkan empat sahaja pemain import dengan salah satu daripada merupakan status pinjaman daripada Selangor iaitu Richmond Ankrah.
Empat pecahan import tersebut menyaksikan mereka memiliki dua pertahanan, satu pemain tengah serta seorang penyerang yang dianggap sangat terhad buat Akmal untuk musim ini.
Apatah lagi penyerang mereka dari Brazil, Rodrigo Dias masih lagi mengalami kecederaan sehingga Penang terpaksa melupakan hasrat menggunakan khidmat beliau sejak beberapa aksi lalu.
Apa perlu dilakukan Penang kini adalah menambah sekurangnya dua lagi pemain import untuk memberi lebih banyak pilihan buat Akmal melakukan rencana formasi serta taktikal terutama di posisi serangan.
Perbaiki kualiti permainan
Daripada segi kualiti permainan, Penang sebenarnya boleh dianggap semakin berkembang terutama ketika berdepan Kedah sebelum ini dengan mereka lebih menguasai perlawanan.
Namun, isu konsistensi sering menjadi penghalang sehingga beberapa kelekaan menyaksikan diri mereka sering dihukum oleh pasukan lawan untuk meraih mata penting.
Malah, kebanyakan pemain masih lagi menghadapi isu persefahaman di atas padang ketika bertukar-tukar hantaran selain gerakan cuba dicipta kadangkala mudah diteka lawan.
Mutu penyudah
Daripada enam perlawanan diharungi, Penang hanya mampu meledak dua gol pada masa sebenar di atas padang untuk membuktikan pasukan ini betul-betul kritikal di posisi serangan.
Dengan ketiadaan Rodrigo kini kerana mengalami kecederaan, Penang menghadapi kesukaran untuk meletakkan penyerang sejati berkualiti serta berpengalaman di hadapan terutama pada aksi menentang Kedah.
Bukan untuk menidakkan Nabil Latpi atau Alif Ikmalrizal, tetapi pasukan tersebut perlu sekurangnya mendapatkan seorang penyerang import atau tempatan berpengalaman.