Indonesia nampaknya bakal mendapat peledak berbisa warisan baharu pada masa hadapan dengan usia masih muda serta sudah pun diperakui kualiti penyudah menerusi statistik di Belanda.
Skuad kendalian Shin Tae-yong kini boleh dianggap sangat aktif daripada segi pembangunan mereka dalam dunia bola sepak antarabangsa dengan ianya kini tidak menumpukan sekitar Asia Tenggara sahaja.
Malah, pasukan ini juga memiliki impian besar untuk cuba melayakkan diri ke pentas Piala Dunia pada masa hadapan selepas kejayaan Sang Garuda melepasi pusingan kedua kelayakan kejohanan tersebut.
Disebabkan itu, pelbagai usaha sudah pun dibuat sejak awal dengan pasukan itu turut giat mendaftarkan pemain warisan dari Belanda serta negara lain di segenap posisi penting.
Terbaharu, pemain muda dari Belanda iaitu Mauro Zijlstra antara yang menawarkan diri untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Indonesia serta berharap pengurusan pasukan itu tidak mengambil masa panjang untuk menguruskannya.
Menurut perkongsian Bola.com, pemain ini beraksi untuk skuad FC Volendam bawah 21 (B-21) di Belanda bersama catatan cukup menyakinkan selaku penyerang utama.
Pada usia 19 tahun, Mauro telah pun meledak sembilan gol bersama satu bantuan jaringan daripada 19 perlawanan dihadapi selain menampilkan kualiti permainan cukup menyakinkan.
Tidak hanya memiliki ketajaman, Mauro juga digambarkan memiliki kekuatan fizikal yang sangat baik serta mampu melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti.
Kualiti dimiliki Mauro itu sebenarnya boleh dianggap sebagai aset terbaik buat Indonesia jika mereka cepat mengikat pemain itu dengan status warisan pada masa hadapan.
Berbekalkan kualiti penyudah yang baik serta pada usia masih muda, jelas Mauro boleh dianggap selaku aset masa hadapan buat bola sepak Sang Garuda di pentas antarabangsa suatu hari nanti.
Lebih menarik, Mauro sendiri mengakui kini sudah pun bersedia untuk mewakili skuad kebangsaan Indonesia dan peluang itu dilihat terbuka pada masa hadapan.
Malah, pemain itu juga dengan lantang menyatakan beliau merupakan mesin gol yang dicari Indonesia selama ini, khususnya buat para penyokong setia Sang Garuda.
“Saya ada statistik yang sangat bagus. Sudah tentu saya dapat bermain untuk Indonesia jika PSSI menjemput saya suatu hari nanti,” ulas Mauro menerusi perkongsian dibuat oleh Bola.com.
Ketika ini, barisan hadapan Indonesia antara masih perlu dipertingkatkan Indonesia dan ianya diakui sendiri oleh Shin Tae-yong selaku pengendali utama walaupun pasukan tersebut memiliki rantaian pemain berkualiti termasuk Rafael Struick.