Aksi Liga Super musim 2024/2025 terus bersambung dengan kali ini membabitkan perlawanan antara Selangor menentang Perak yang bakal berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Momentum semasa skuad kendalian Nidzam Jamil ketika ini boleh dianggap cukup baik, selepas mereka konsisten meraih tiga kemenangan berturut-turut termasuk mencipta jaringan besar bertemu Negeri Sembilan.
Hadir dengan reputasi cukup tinggi ketika ini, maka tidak hairan mengapa Selangor menjadi pilihan utama untuk mengetepikan skuad kendalian Yusri Che Lah.
Berbalik kepada Perak pula, mereka kini perlu mencipta kebangkitan setelah merekodkan kekalahan di tangan Terengganu pada minggu lalu dalam saingan awal Piala FA musim 2024/2025.
Di persaingan Liga Super, pasukan itu ketika ini hanya meraih satu kemenangan sahaja ketika mereka bertemu Kedah Darul Aman (Kedah), selain kekalahan dilakar sewaktu menentang Sang Penyu serta PDRM.
Tiada jalan lain buat Yusri kini dengan hanya kemenangan atau seri perlu diraih pasukan tersebut untuk mengelak daripada terus menerima kritikan ramai.
Untuk aksi hari ini, tiga pemain dijangka bakal mencipta impak buat pasukan masing-masing selepas melihat kepada prestasi semasa serta sumbangan lalu di atas padang.
Lee Tae-min
Penyerang import Perak ini mencipta sensasi tersendiri ketika aksi membabitkan mereka bertemu Kedah sebelum itu menerusi dua ledakannya yang berbisa.
Mencipta penampilan buat pertama kali di Malaysia, Lee tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri di atas padang serta memahami kehendak taktikal diterapkan oleh Yusri.
Selain tajam di hadapan gol, pemain dari Korea Selatan ini juga memiliki skil kawalan bola yang baik serta bijak membuat hantaran-hantaran kepada rakan sepasukan lain untuk meningkatkan peluang gol.
Yohandry Orozco
Orozco boleh dikatakan pemain paling berbisa kini buat Selangor serta memberi pengaruh cukup besar kepada The Red Giants untuk mendapatkan gol dalam setiap perlawanan dihadapi.
Konsistensinya itu menyaksikan Selangor jelas bergantung harap kepada Orozco setiap kali mereka mempunyai peluang untuk mencipta serangan ke arah kubu lawan.
Selain kreatif mencipta lorongan-lorongan berbahaya, Orozco juga sangat tajam di hadapan gol menerusi ketepatan rembatan beliau dari pelbagai arah.
Sharul Nazeem
Tiga perlawanan diharungi Selangor kini menyaksikan mereka masih belum dibolosi oleh mana-mana pasukan lawan dek kekebalan benteng pertahanan pasukan tersebut.
Sharul Nazeem menjadi antara watak utama buat kekebalan benteng pertahanan Selangor menerusi kualiti permainan ditampilkan beliau di atas padang bersama rakan sepasukan lain.
Kekuatan utama Sharul pastinya terarah kepada ketepatan beliau membaca gerakan serangan lawan serta memiliki kekuatan fizikal untuk mengatasi mana-mana pemain termasuk import.