Kelibat tiga serangkai penyerang import berbisa Kuching City pada aksi hari ini dalam saingan Liga Super musim 2024/2025 mampu untuk mencipta kejutan bagi mereka mengatasi Terengganu.
Kuching City bakal melayan kunjungan Terengganu pada hari ini di Stadium Negeri bagi perlawanan minggu keempat Liga Super dalam misi mereka untuk cuba meraih tiga mata sulung.
Daripada tiga perlawanan Liga Super diharungi mereka sebelum ini, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak masih gagal untuk mendapatkan kemenangan sulung selepas pasukan itu hanya merekodkan dua kali seri serta satu kekalahan di tangan Sabah.
Berbekalkan semangat kemenangan pada aksi Piala FA lalu berdepan Kuala Lumpur City (KL City) pada minggu lalu, pastinya Aidil mempunyai perancangan untuk mengekalkan konsistensi tersebut.
Bawah kendalian jurulatih dari Singapura itu, beliau menyedari Kuching City memiliki kelemahan cukup ketara di posisi serangan serta pertahanan yang menyebabkan mereka longlai pada tahun lalu.
Disebabkan itu pengendali tersebut membuat beberapa rombakan termasuk menandatangani dua penyerang baharu yang sebelum itu sudah pun membuktikan bisa mereka dalam aksi Liga Malaysia (Liga M).
Kehadiran pemain seperti Jordan Mintah dan Tchetche Kipre memberi isyarat penting buat peminat mengenai persiapan serius dilakukan oleh Aidil untuk memantapkan jentera serangan selain mereka mengekalkan Pedro Henrique.
Walaupun trio serangan tersebut masih belum mempamerkan kualiti sebenar mereka lagi di atas padang, secara perlahan-lahan persefahaman dicipta oleh pengendali dari Singapura itu buat pasukan semakin baik.
Aksi bertemu Terengganu pada hari ini sebenarnya boleh menjadi medan ujian terbaik buat Aidil untuk melihat sejauh mana kekuatan tiga rangkaian pemain serangan pasukan tersebut musim ini daripada segi kreativiti serta kualiti penyudah.
Apa tidaknya, Terengganu merupakan salah satu pasukan pilihan musim ini yang memiliki rantaian pemain berkualiti serta sangat ampuh di posisi pertahanan.
Melihat kepada kualiti dimiliki lawan, Aidil hampir pasti akan meletakkan tiga pemain serangan import beliau musim ini dengan masing-masing bakal menawarkan kelebihan tersendiri.
Walaupun begitu, Sang Penyu juga pastinya enggan berdiam diri dengan momentum kemenangan mereka sebelum ini sudah tentu ingin dipertahankan walau beraksi di gelanggang lawan.
Hadir dengan rantaian pemain tempatan berkualiti, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner pastinya diletakkan selaku pilihan utama untuk aksi hari ini jika dibandingkan tuan rumah.
Pendapat anda, siapa bakal memenangi aksi ini?