Kedah Darul Aman (Kedah) dan Penang akhirnya bakal membuat perhitungan sulung mereka pada musim ini dalam saingan Liga Super, dengan aksi tersebut bakal berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Derbi Utara boleh dianggap sebagai salah satu acara paling mencuri tumpuan kerana persaingan kedua pasukan ini sering dianggap mengujakan kedua para penyokong pasukan.
Baik Kedah atau Penang, kedua pasukan tersebut ketika ini boleh dikatakan berada pada prestasi cukup baik selepas masing-masing meraih kejayaan pada aksi lalu.
Penang yang berada bawah kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli tampil dengan beberapa rombakan terutama sekali membabitkan barisan pemain tempatan serta import.
Malah, Akmal juga gemar menggunakan barisan pemain muda pada musim ini selain corak permainan juga semakin positif daripada setiap perlawanan dihadapi.
Kedah pula boleh dianggap sedang bergelut dengan isu dalaman yang berlaku sejak penghujung musim lalu, namun prestasi ditampilkan skuad kendalian Nafuzi Zain tidak boleh diperkecilkan.
Walaupun mereka kehilangan ramai tonggak musim lalu, Nafuzi berjaya mendapatkan pengganti berkualiti untuk memastikan Sang Kenari kekal selaku antara pencabar terbaik musim 2024/2025.
Rekod pertemuan kedua pasukan tersebut pada musim lalu menyaksikan Kedah meraih dua kemenangan serta satu kekalahan daripada tiga perlawanan bersama Penang.
Dua kemenangan tersebut diraih Kedah ketika aksi Liga Super, sementara Penang menundukkan Sang Kenari pula bagi persaingan awal Piala FA 2023.
Siapa pemain tumpuan Penang dan Kedah?
Pemain tumpuan Penang pada malam ini terarah kepada Nabil Latpi yang menjadi pencetus utama kepada siri serangan pasukan tersebut serta beliau masih segar akan jaringan sulung pada minggu lalu ketika bertemu Sri Pahang.
Buat Kedah pula, konsistensi Amirul Hisyam sangat ditagih, selepas beliau tampil begitu baik pada aksi lalu di posisi tengah untuk membentuk gandingan bersama Habib Haroon daripada segi penguasaan permainan.
Daripada segi import pula, sudah tentu aksi Richmond Ankrah bakal menjadi tumpuan utama untuk memastikan pertahanan Penang tidak dibolosi Kedah yang bakal mempertaruhkan Ebenezer Assifuah.
Melihat kepada prestasi semasa yang seimbang, dijangka aksi sengit bakal diperagakan kedua pasukan untuk memastikan tiga mata dapat digenggam di Stadium Bandaraya.
Jangkaan anda?