Jumlah Tajaan Makin Bertambah, Petanda Kewangan Kedah Kembali Stabil?

Kedah Darul Aman (Kedah) menjadi salah satu pasukan paling mencuri tumpuan semenjak penghujung musim lalu, selepas mereka menjadi antara kelab terpalit dengan isu kewangan yang sangat serius.

Walaupun berjaya melengkapkan segala dokumentasi untuk mengharungi musim 2024/2025, pemilik Sang Kenari iaitu Tan Sri Dr. Daud Bakar mengakui kantung kewangan mereka pada awalnya tidak dapat bertahan lama.

Lebih parah, sehingga kini Kedah masih belum berjaya mendapatkan penaja rasmi mereka untuk saingan musim ini selepas ketiadaan syarikat antarabangsa tahun lalu, Bin Ziyad.

Ada juga laporan diterima menyatakan para pemain Sang Kenari kini sedang mengalami isu tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan pasukan tersebut walau tiada kesahihan rasmi.

Walaupun begitu, ada perkhabaran gembira mungkin akan kembali menyinari pasukan tersebut untuk menjadikan mereka kembali stabil pada saingan musim ini di kancah Liga Malaysia (Liga M).

Terbaharu, Sang Kenari menerima jumlah tajaan sebanyak RM100,000 daripada syarikat Xpress Point beberapa hari lalu dan dinyatakan sendiri eleh media pasukan tersebut.

“Hadir menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak adalah Saw Mei Yee, Pengarah HYL Marketing Sdn. Bhd. (Xpress Point) dan Shahrul Samsudin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC.

“Sesi diadakan di bilik sidang media, Stadium Darul Aman, melibatkan persetujuan tajaan bernilai RM100,000.00 dalam bentuk tunai dan barangan tajaan, antaranya penganjuran aktiviti bersama pasukan dan penyokong, projek usahasama serta diskaun produk buat ahli kepak kenari/pas bermusim di semua cawangan XPRESS POINT,” jelas kenyataan tersebut.

Selain itu pemilik syarikat Nanostix, Shahabudeen Jalil juga memberi bayangan akan menjadi pemilik baharu Sang Kenari untuk persaingan musim ini.

“Niat saya adalah untuk membeli pasukan ini atas kapasiti peribadi sebagai anak jati Negeri Kedah. Saya nyatakan niat ini kepada pihak kerajaan Negeri dan pemilik sekarang juga,” ulas beliau.

Melihat kepada unsur-unsur positif sejak kebelakangan ini, pastinya para peminat Kedah mengharapkan pasukan itu pastinya akan menjadi lebih baik terutama daripada segi kewangan untuk terus memberi persaingan positif.

Malah, kelibat jersi baharu pasukan tersebut juga pastinya kini dinanti-nantikan para penyokong selepas Kedah kini hanya memakai jersi latihan pada aksi sebenar.

Walaupun tampil dengan pelbagai kontroversi di belakang tabir, daripada segi keputusan perlawanan menyaksikan Kedah masih boleh dianggap sebagai pencabar hebat selain Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Terengganu, serta Sabah untuk merebut kejuaraan domestik.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN