Penyerang handalan Sabah, Jafri Firdaus Chew ketika ini boleh dianggap bermula dengan sangat positif bagi musim 2024/2025 menerusi impaknya di jentera hadapan pasukan tersebut jelas menyakinkan.
Selepas tampil serba tidak menjadi sejak beberapa musim sebelum ini, musim lalu boleh dianggap sebagai permulaan kembali buat Jafri untuk kembali bangkit selepas beberapa perubahan posisi ditetapkan oleh Datuk Ong Kim Swee.
Bekas penyerang Harimau Malaya itu buat pertama kali telah diletakkan di posisi sayap kanan serta beberapa kali tampil di bahagian pertahanan bersama aksi cukup positif.
Tidak hanya itu, sentuhan Jafri di hadapan gol juga kembali bersinar apabila beliau telah meledak beberapa jaringan penting buat Sabah sejak musim lalu.
Menjadi antara pemain paling kerap menerima kritikan, Jaffri kembali bangkit pada musim lalu bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee bersama Sabah sehingga dirinya kembali meraih pujian ramai.
Statistik musim lalu menyaksikan Jaffri telah meledak tiga gol daripada 20 penampilan di pentas domestik bersama Sabah.
Selain itu, Jaffri juga turut membuka satu akaun jaringan di pentas AFC ketika The Rhinos berdepan cabaran Hai Phong FC bagi aksi peringkat Kumpulan H.
Musim ini, pemain berusia 26 tahun itu sudah pun meledak satu gol ketika Sabah mencatat kemenangan 2-1 mengatasi Kuching City di Likas.
Paling mencuri tumpuan, pastinya ketika Sabah mengharungi aksi RCTI Premium Sports di Indonesia apabila Jafri telah meledak dua jaringan ketika bertemu Selangor serta PSIS Semarang.
Menerusi momentum cemerlang itu, pastinya ketajaman bekas penyerang Penang itu ditagih untuk aksi Piala FA beberapa hari lagi menentang KL Rovers.
Walaupun begitu, Jafri mengakui beliau masih belum berpuas hati dengan kualiti permainan beliau sambil enggan memandang rendah kualiti lawan mereka, KL Rovers.
“Untuk permulaan dalam aksi liga, nak kata saya berpuas hati pun tidak boleh juga sebab liga masih lagi panjang.
“Banyak lagi yang saya kena perbaiki tetapi tahap keyakinanan sekarang sudah semakin baik untuk saya cuba lagi menjaringkan gol selepas ini.
“Apa pun, kami memang tak ambil mudah untuk lawan KL Rovers sebab kita tahu pemain-pemain mereka adalah berpengalaman dan pernah bermain di Liga Super juga,” jelas beliau menerusi laporan dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).