Saingan Liga Super musim 2024/2025 bagi minggu ketiga sudah pun berakhir dengan setiap pasukan tampil dengan nasib berbeza menerusi kualiti pemain import milik mereka di atas padang.
Ada pemain import yang tampil dengan kualiti begitu menyerlah sehingga membantu pasukan untuk meraih kemenangan penting pada minggu tersebut.
Tak kurang juga kehadiran beberapa pemain import yang dianggap langsung tidak memberi sebarang kesan serta tak ada beza jika dibandingkan dengan kualiti tonggak-tonggak tempatan.
Menerusi semua perlawanan yang telah berlangsung sebelum ini, Semuanya BOLA telah memilih lima pemain import yang dianggap sangat menyerlah serta membantu pasukan untuk meraih keputusan positif bagi memenuhi jangkaan para peminat.
Yohandry Orozco
Orozco tampil dengan aksi cukup berkualiti ketika aksi membabitkan Selangor menentang Negeri Sembilan dengan dua gol peribadi telah diledak beliau.
Sepatutnya, Orozco telah pun meledak hatrik sulung beliau pada aksi musim ini sebelum jaringan awal pemain tengah menyerang itu dibatalkan pengadil kerana beliau dikatakan berada pada kedudukan ‘offside’.
Juan Muniz Gallego
Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) ini mengharungi musim kedua beliau bersama JDT dengan sangat positif selepas dirinya berjaya meraih dua jaringan peribadi ketika pasukan itu berpesta gol mengatasi Kuala Lumpur City (KL City).
Tidak hanya menjaringkan gol, Juan Muniz juga memainkan peranan penting untuk membantu Fernando Forestieri meledak dua jaringan menerusi dua sumbangan ‘assist’ yang berkualiti tinggi.
Lee Tae-min
Penyerang baharu Perak ini tidak mengambil masa yang lama untuk memastikan dirinya menjadi pemain kesayangan baharu para penyokong kelab tersebut menerusi sumbangannya di hadapan gol.
Apatah lagi Tae-min menjaringkan gol ketika aksi bertemu Kedah Darul Aman (Kedah) di gelanggang lawan dengan dua ledakan beliau memastikan tiga mata pertama menjadi milik Perak pada aksi musim ini.
Fernando Forestieri
Penyerang serba lengkap ini meneruskan reputasi positif beliau di Malaysia pada awal musim ini dengan dua gol peribadi beliau telah pun diledak untuk meletakkan namanya sebaris Bergson da Silva selaku penjaring terbanyak semasa buat JDT.
Selain menjaringkan dua gol, gerakan yang dicipta oleh Forestieri bersama rakan sepasukan lain jelas memberi kesukaran buat pertahanan KL City untuk terus bertahan sepanjang tempoh perlawanan berlangsung.
Nurillo Tukhtasinov
Pemain import Terengganu ini boleh dianggap sangat konsisten sepanjang mengharungi tiga perlawanan dalam saingan Liga Super menerusi sumbangannya untuk menghidupkan jentera tengah pasukan.
Selain satu gol diledak beliau pada aksi bertemu Kelantan Darul Naim (KDN), Nurillo juga telah pun mencatat nama selaku penjaring Terengganu pada perlawanan pertama mereka berdepan Perak.