Bekas pengendali Kelantan The Red Warriors (TRW) musim lalu, Angel Alfredo Vera boleh dianggap melalui detik-detik malang dalam karier kejurulatihan beliau dengan kali ini ianya berterusan di saingan Liga 1 Indonesia.
Musim lalu menyaksikan jurulatih dari Argentina itu gagal untuk membawa sebarang elemen positif buat Kelantan selepas mereka menamatkan cabaran di tempat terakhir Liga Super 2023.
Kemasukan Alfredo Vera pada pertengahan musim dalam bola sepak Malaysia gagal membantu Kelantan untuk mencipta kebangkitan dengan episod malang terus melanda kelab itu sehingga menyaksikan diri mereka berputih mata bagi beraksi di pentas Liga Super musim ini.
Tatkala Norizam Tukiman selaku pemilik Kelantan menyatakan Alfredo Vera akan kekal pada awalnya bersama kelab itu, pengendali tersebut secara tiba-tiba diumumkan selaku jurulatih baharu RANS Nusantara di Indonesia.
Kemasukan Alfredo Vera bersama RANS Nusantara ketika itu adalah untuk menggantikan khidmat Eduardo Almeida serta diletakkan sasaran supaya tidak meletakkan pasukan itu di zon penyingkiran.
Namun sebaliknya pula terjadi, apabila pasukan milik Raffi Ahmad itu sah tersingkir daripada divisyen utama musim hadapan apabila RANS Nusantara sekadar berada di tangga ke-16.
Malah, perlawanan terakhir pasukan itu dalam persaingan liga juga tidak indah apabila mereka tewas kepada PSM Makassar menerusi keputusan 2-3.
Secara keseluruhan, RANS Nusantara hanya mengumpul lapan kemenangan sahaja selain merekodkan 11 seri serta 15 kekalahan untuk meraih 35 mata secara keseluruhan.
Kontrak Alfredo Veras bersama pasukan itu juga dilaporkan bakal tamat serta tidak disambung dengan menyaksikan pengendali itu berada di Indonesia hanya selama lebih kurang sebulan sahaja.
“Pandangan saya, pasukan ini berada bawah kendalian saya ketika motivasi serta moral para pemain sangat rendah setelah mengharungi pelbagai episod sukar.
“Apatah lagi jadual perlawanan kami sangat padat apabila perlu menempuh empat aksi dalam masa hanya 13 hari sahaja.
“Selain itu, saya juga tidak mendapat masa yang cukup untuk membuat persiapan lebih baik serta mengenal dengan lebih mendalam tentang para pemain,” jelas beliau menerusi Bola.com.
Pada masa sama, Alfredo juga berharap supaya dapat berada di Indonesia lebih lama bersama RANS Nusantara dengan harapan untuk kembali membantu pasukan tersebut kembali meraih ke saingan utama.
“Sudah tentu saya tertarik untuk terus membantu pasukan ini walaupun berada di saingan divisyen kedua.
“Saya berharap sangat untuk membantu pasukan ini daripada mula sehingga mencapai sesuatu. Setidaknya mereka mampu mara ke saingan utama kembali,” jelas beliau akhir sekali.