Negeri Sembilan kini menjadi antara pasukan paling sibuk membuat pelbagai persiapan diperlukan sebelum mereka mengharungi aksi Liga Super 2024/2025 yang akan bermula tidak lama sahaja lagi.
Hadir dengan pelbagai rombakan termasuk di posisi kejurulatihan, pastinya banyak perkara perlu dipersiapkan mereka demi menyesuaikan diri dengan secepat mungkin dalam persaingan liga akan datang.
Bawah kendalian Azzmi Aziz, Negeri Sembilan turut mencipta beberapa rombakan dalam kalangan pemain termasuk barisan import baharu untuk memperkuatkan skuad Hoben Jang Hoben.
Malah, Azzmi sendiri dianggap sebagai aset terbaharu buat Negeri Sembilan selepas kejayaan beliau pada tahun lalu untuk membawa PDRM menjadi salah satu kelab terbaik walaupun hanya kekal sehingga pertengahan musim.
Untuk aksi pertama musim ini, Negeri Sembilan bakal menghadapi cabaran daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri dan dianggap cukup getir buat mereka.
Apa tidaknya, JDT boleh dianggap berada pada satu tahap berbeza kini jika dibandingkan oleh kelab-kelab lain daripada segi kualiti serta corak permainan ditampilkan mereka di atas padang.
Apatah lagi skuad kendalian Azzmi itu juga perlu menghadapi aksi getir di gelanggang lawan yang pastinya akan dihadiri ribuan penyokong fanatik JDT untuk memberi sorakan padu buat kelab kesayangan mereka.
Disebabkan itu, beberapa persediaan dibuat pasukan tersebut termasuk menghadapi aksi-aksi persahabatan untuk Azzmi menilai serta memperbaiki kelemahan dimiliki.
Antara lawan paling mencuri tumpuan, pastinya terarah kepada wakil dari Singapura iaitu Tanjong Pagar United pada 7 Mei nanti sebelum satu pasukan tempatan pada beberapa hari kemudian.
“Memandangkan kita hanya akan memulakan aksi Liga Super musim ini bertemu JDT pada 18 Mei, jadi kita rancang mengadakan satu aksi persahabatan pada 11 Mei dengan sebuah kelab tempatan yang akan ditentukan kemudian.
“Saya berharap menrusi ketiga-tiga aksi persahabatan ini nanti, akan dapat membantu memantapkan lagi persiapan pasukan terutama daripada segi persefahaman dan keserasian antara pemain sebelum kita menghadapi perlawanan pertama Liga Super,” kata Azzmi menerusi Berita Harian.
Pada masa sama, Azzmi tetap optimis dengan barisan pemain dimiliki walaupun pasukan itu mencatat beberapa kekalahan dalam aksi persahabatan termasuk di tangan Kedah Darul Aman (Kedah) beberapa hari lalu.
“Walaupun keputusan yang dicatat Negeri Sembilan dalam beberapa aksi persahabatan diadakan sebelum ini kurang baik, saya yakin segala kelemahan dan kekurangan itu akan diperbaiki sebelum liga bermula.
“Saya optimis dengan barisan pemain yang ada ini, kita akan dapat membentuk sebuah pasukan yang mantap dan dapat bersaing dalam liga dengan penuh yakin,” katanya lagi.