Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) terus meluaskan skop mereka di serata negeri dalam usaha mereka untuk mendapatkan bakat-bakat baharu berpotensi besar untuk diketengahkan.
Terbaharu, seramai 2000 orang anak-anak muda Terengganu dilaporkan mencuba nasib mereka untuk menyertai Akademi JDT bawah kelolaan bekas penjaga gol kebangsaan iaitu Izham Tarmizi.
Anak jati Terengganu itu seperti diketahui mencipta karier cukup besar sebelum ini bersama JDT bagi beberapa musim serta pernah beraksi di pentas AFC Champions League (ACL) sebelum dipinjamkan bersama Sri Pahang.
Tampil dengan pengalaman cukup luas, tidak hairan kini beliau giat membantu mencungkil bakat-bakat baharu di Terengganu bersama Akademi JDT yang turut diketuai oleh Diego Griffa.
Program yang berlangsung sejak 26 hingga 27 April itu menyaksikan 14 pemain muda berkualiti telah telah terpilih untuk melalui ujian terakhir selama beberapa hari sebelum terpilih menyertai akademi tersebut menurut perkongsian eksklusif Izham kepada Semuanya BOLA.
“Saya pun bermula dari peringkat bawah sejak zaman sekolah, ini adalah jalan terbaik buat adik-adik untuk mendalami ilmu bola sepak sebelum pergi ke tahap lebih tinggi.
“Ini adalah salah satu jalan terbaik buat mereka. Tak kisah mana-mana akademi pun, semua pun boleh dicuba.
“Tetapi semua orang tahu JDT adalah satu kelab paling besar dan penuh dengan anak-anak muda berimpian besar untuk ke sana.
“Jika JDT ada buat pemilihan di daerah atau negeri-negeri lain selepas ini, saya sarankan kepada anak-anak muda pergi dan cuba nasib untuk mengetahui jika layak atau tidak,” ulas Izham.
Pada masa sama, penjaga gol Sri Pahang pada musim lalu itu mengakui beliau secara kebetulan sahaja terlibat dalam program pencarian bakat muda di Terengganu.
“Saya orang Terengganu dan masih memiliki kontrak bersama JDT dan pernah mewakili kelab tersebut selama 9-10 tahun sudah tentu saya akan bantu apa yang boleh demi kelab ini.
“Apatah lagi Akademi JDT datang ke tempat saya, sebagai seseorang yang pernah makan gaji dan berkhidmat di Johor, sudah tentu ada niat di hati untuk membalas kembali jasa Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk membantu dari segi pembangunan akar umbi.
“Terpulang kepada pihak JDT jika ingin saya teruskan kerana saya tak ada masalah untuk membantu, tetapi kalau sekadar bersifat sementara pun saya tak ada masalah kerana saya sangat bangga dapat bantu Diego Griffa,” kata Izham lagi.
Akhir sekali, Izham turut menambah pesanan kepada anak-anak muda yang terpilih bersama Akademi JDT untuk tabah berjauhan bersama keluarga serta menanam sikap profesional sejak daripada awal.
“Ini adalah satu platform di mana adik-adik boleh belajar cara profesional kelab diwakili untuk menjadi bertambah baik pada masa hadapan,” katanya kepada Semuanya BOLA.
Pesanan ini boleh dianggap sangat baik buat tunas muda yang ingin mengembangkan bakat mereka bersama JDT jika terpilih pada suatu hari untuk membina karier sejak awal.
Anda masih ingat kepada bintang cilik kelahiran Terengganu yang tular pada tahun lalu iaitu adik Muhammad Aqil b Mohd Shamsul Aswadi?
Kini Aqil juga semakin membangun dengan pesat bawah kelolaan JDT apabila beliau telah membantu skuad B-15 kelab tersebut meraih kemenangan 3-0 mengatasi Barcelona B-15 baru-baru ini dalam kejohanan Liga Belia Singapura 2024.
Pastinya kejayaan adik tersebut ditandatangani JDT menjadi pemangkin utama mengapa ramai anak-anak muda di sana berminat untuk menyertai akademi tersebut.
Buat Izham Tarmizi, kami doakan yang terbaik buat beliau dan akan terus menjadi salah satu tunjang penting pada masa hadapan untuk mencungkil lebih ramai bakat berkualiti buat kelab serta negara.