Malaysia bawah 23 (B-23) secara rasminya telah pun menamatkan cabaran terakhir mereka di pentas Piala Asia B-23 dengan rekod cukup mengecewakan apabila terbaharu pasukan tersebut tewas kepada Kuwait menerusi keputusan 0-1.
Secara rasminya, skuad kebangsaan telah pun tersingkir awal pada kejohanan tersebut dan aksi terakhir ini tidak membawa apa-apa makna selain para pemain cuba mengangkat marua negara dengan satu kemenangan sekurangnya.
Namun ia tidak dapat dilakukan apabila Harimau Malaya B-23 mencatat kekalahan kali ketiga berturut-turut dengan kali ini menjadi mangsa Kuwait menerusi jaringan penalti Salman Al-Awadhi.
Awal perlawanan menyaksikan Malaysia lebih banyak mendominasi perlawanan dengan beberapa gerakan positif cuba dicipta mereka untuk mengatasi Kuwait.
Berbanding dua aksi lalu, pasukan kebangsan B-23 kini lebih yakin mengawal bola dan jarang membuat sebarang kesilapan mudah selepas mengharungi 10 minit permainan.
Manakala Kuwait pula dilihat lebih banyak berkampung di kawasan sendiri serta masih mencari peluang untuk mencipta siri serangan bagi menguji pertahanan kebangsaan.
Malaysia akhirnya berjaya memperoleh gol pertama mereka menerusi Luqman Hakim sebelum ianya dibatalkan oleh pengadil kerana ‘offside’ pada minit ke-16 untuk melegakan seketika gawang lawan.
Harimau Malaya jelas begitu terdesak untuk mendapatkan jaringan awal dengan beberapa kali ancaman serta tekanan diberikan mereka ke atas pasukan lawan dan ada siri percubaan turut dicipta untuk menguji Kuwait.
Penjaga gol kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel terpaksa melupakan perlawanan terakhir itu dengan lebih awal selepas beliau menerima layangan kad merah hasil perlanggaran bersama penyerang Kuwait pada masa tambahan.
Malah, Sikh Izhan juga turut mengalami kecederaan yang memaksa beliau untuk diangkat pegawai bertugas akibat perlanggaran itu di penghujung separuh masa pertama dan digantikan oleh Firdaus Irman.
Sebelum aksi separuh masa pertama tamat, Malaysia sekali lagi dihukum sepakan penalti selepas bola terkena tangan Umar Hakeem sebelum ia disempurnakan oleh Salman Al-Awadhi untuk meletakkan Kuwait 1-0 di hadapan.
Bersambung di separuh masa kedua, ada rombakan dibuat oleh Juan Torres Garrido dengan kemasukan beberapa pemain di posisi serangan dalam usaha untuk cuba mendapatkan gol penyamaan.
Kuwait terus mendapatkan gol kedua pada minit ke-61 untuk menjarakkan kedudukan semasa mereka bersama Malaysia dengan kali ini giliran Talal Al-Qaisi menjadi penjaring kedua lawan.
Tidak lama kemudian, Haqimi Azim kembali merancakkan perlawanan tersebut menerusi gol sulung negara, apabila gerakan solo beliau berjaya mengelirukan pertahanan lawan sebelum satu rembatan deras dibuat pada minit ke-63.
Pada minit ke-85, giliran pemain Kuwait iaitu Salman Mohammed dilayangkan kad merah kerana kekasaran keras dibuat beliau kepada pertahanan negara dikesan pengadil.
Keputusan perlawanan kekal tamat dengan Kuwait berjaya meraih kemenangan sulung mereka di pentas Piala Asia B-23, Qatar apabila mereka menundukkan cabaran Malaysia menerusi keputusan 2-1.
Buat Malaysia, jelas ini menjadi isyarat cukup buruk untuk Garrido selepas beliau gagal membawa sebarang kemenangan atau mengumpul walau satu mata sepanjang kejohanan itu berlangsung.
Kesebelasan Utama
Kuwait: Abdulrahman Alfadhli (Penjaga Gol), Mohsen Ghareeb, Faisal Alshatti, Yousef Alhaqan, Khaled Alfadhli, Fahad Alfadhli, Salman Mohammed (Kapten), Hussain Mohsen, Talal Alqaisi, Montaser Alabdulsalam, Moaath Alenezi
Malaysia: Sikh Izhan Nazrel (Penjaga Gol), Muhammad Aiman, Muhammad Ubaidullah, Harith Haiqal (Kapten), Luqman Hakim, Nooa Laine, Muhamad Umar Hakeem, Fergus Tierney, Muhammad Syahir, Daryl Sham George, Muhammad Haqimi Azim