Penang dilaporkan kini bakal mendapatkan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Syamer Kutty Abba untuk persaingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan status selaku pinjaman.
Ianya diumumkan sendiri melalui Astro Arena dengan menyatakan Syamer bakal menjadi rekrut terbaharu pasukan tersebut yang kini berada bawah kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Sepanjang bersama JDT, pemain tengah berpengaruh ini telah pun beraksi sebanyak 57 perlawanan serta menyumbang satu gol dan dua bantuan jaringan secara keseluruhan.
Penyertaan bersama Penang bakal menimbulkan kembali nostalgia buat pasukan tersebut yang terdahulu memulakan karier bersama mereka sebelum menyertai Harimau Selatan.
Syamer telah pun beraksi sebanyak 23 perlawanan pada awal pembabitan beliau suatu ketika dalam dunia bola sepak profesional bersama Penang dan berjaya mengembangkan diri sebagai antara pemain tengah paling berpengaruh di Malaysia.
Kembali menyertai Penang kali ini, beberapa faktor dilihat Syamer bakal menjadi percaturan sangat penting buat pasukan tersebut yang akan mengharungi saingan Liga M musim 2024/2025.
Kelebihan Syamer Kutty
Seperti diketahui, Syamer merupakan antara pemain tengah bertahan paling lasak serta berkualiti untuk era bola sepak kini di Malaysia menerusi persembahannya bersama kelab atau Harimau Malaya.
Selain pakar dalam memberi tekanan-tekanan kepada pemain lawan, Syamer juga mampu bergerak di sekitar padang untuk memastikan penguasaan bola kekal milik pasukan diwakilinya.
Selain itu, Syamer juga memiliki kreativiti untuk mencipta hantaran berkualiti kepada rakan sepasukan lain menerusi visi miliknya selain mampu mengawal tempo permainan.
Kelebihannya itu menjadikan beliau sebagai suatu aset cukup berharga buat Penang jika pasukan itu sah mendapatkan pemain tersebut.
Tampung kekosongan import
Seperti dilihat pada keadaan semasa, Penang hanya memperkenalkan Rodrigo Dias, Rafael Vitor, serta Richmond Ankrah sahaja untuk slot pemain import mereka pada saingan hadapan.
Ketiga-tiga pemain itu pula jelas tidak beraksi di posisi tengah dengan Rodrigo di bahagia serangan, manakala Richmond serta Rafael bertindak selaku pertahanan.
Jika tiada pemain tengah import diperkenalkan, maka posisi tersebut pastinya akan diisi terus oleh Syamer yang mempunyai segala diperlukan sebagai maestro pasukan tersebut musim ini.
Pengalaman luas dimiliki
Syamer menjadi antara pemain yang sudah pun beraksi di pelbagai peringkat domestik dan antarabangsa bersama JDT dan Malaysia sebelum ini.
Kelebihan daripada segi pengalaman Syamer pastinya ditagih Akmal untuk turut membantu beliau pada perlawanan rasmi atau ketika sesi latihan terutama dalam membangunkan pemain muda.
Malah, pengalaman Syamer juga pastinya menjadi suatu kelebihan buat Penang untuk mengharungi saingan domestik pada saingan musim ini.