Daripada Lawan Budak Rumah Sewa Ke Kejohanan Dunia E-Sukan, Ini Kisah AmTuah

Kebelakangan ini, hangat diperkatakan mengenai pencapaian seorang anak muda yang berjaya membawa nama negara ke kejohanan e-sukan peringkat dunia di Paris, Perancis.

Saya berkesempatan bertemu dengan AmTuah atau namanya Nor Amirul bin Afandi. Kami berbual mengenai perjalanan beliau di dalam industri e-sukan.

Dan ini adalah hasil temu bual saya (SB) dengan beliau (AT):

SB: Bagaimana AmTuah boleh bermula dengan industri e-sukan?

AT: Semuanya bermula ketika saya berusia 18 tahun. Saya sebenarnya mempunyai cita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan sebenarnya saya merupakan salah seorang pemain skuad Piala Presiden Selangor.

Namun begitu, kerana kecederaan yang saya hadapi saya terpaksa melupakan hasrat tersebut. Saya mula rasakan diri saya sesuai dengan e-sukan apabila saya bermain permainan video FIFA dengan kawan-kawan saya.

Saya rasakan diri saya mempunyai potensi besar untuk maju dalam industri e-sukan ini lalu saya membuat keputusan untuk terjun ke industri e-sukan dan mewakili Team Infinite.

SB: Boleh ceritakan sedikit pengalaman awal di dalam industri e-sukan?

AT: Pada mulanya saya mencari kejohanan-kejohanan e-sukan berskala kecil yang diadakan. Dan kejohanan pertama saya adalah di The Mines, Sri Kembangan.

Ketika itu saya tewas di pusingan 32 terakhir. Saya muncul juara apabila saya menyertai kejohanan kedua saya anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

SB: Bagaimana perjalanan AmTuah ke kejohanan dunia?

AT: Saya berjaya ke memenangi beberapa lagi kejohanan e-sukan di Malaysia seperti merangkul 8 lagi kejuaraan untuk kejohanan FIFA 15 serta kejohanan Malaysia’s Cyber Game.

Kejohanan yang membawa saya ke Perancis adalah kejohanan Asean Games for E-Sports (AGES). Di kejohanan tersebut saya berjaya menjadi juara dan hasilnya saya dapat mewakili Malaysia ke E-Sport World Cup (ESWC).

Saya ke sana atas tajaan yang diberikan oleh beberapa penaja seperti Red Bull, Astro dan juga Gamesbond.

Rakan-rakan dari komuniti e-sukan banyak memberikan sokongan kepda saya. Mereka sering memberikan kata-kata semangat untuk saya terus maju dalam industri ini.

13310395_1095997740465126_3769

SB: Apakah cabaran AmTuah sepanjang menjadi pemain e-sukan?

AT: Cabaran paling besar adalah apabila apa yang saya lakukan ini tidak disenangi oleh teman-teman rapat saya sendiri. Mereka sering berkata yang perbuatan saya ini hanya sekadar membuang masa dan tenaga.

Namun begitu saya hanya pekakkan telinga saya apabila mereka berkata begitu. Selepas memenangi banyak kejohanan, mereka mula menabur fitnah untuk menjatuhkan reputasi saya.

SB: Apa yang diperlukan oleh seseorang itu untuk menjadi pemain e-sukan?

AT: Pertama sekali adalah disiplin. Jangan fikir menjadi pemain e-sukan anda hanya perlu bermain permainan video sahaja tetapi anda perlu ada disiplin serta komitmen terhadap perkara ini.

Kedua anda perlu rajin berlatih. Seperti saya, saya berlatih berlatih bermain selama 4 hingga 5 jam sehari.

Saya juga mempunyai jadual latihan saya sendiri. Sebagai contoh, hari Isnin saya khaskan untuk latihan bertahan. Jadi saya akan bermain FIFA dengan menentang pihak lawan secara online dengan bermain secara bertahan sahaja.

Manakala pada hari lain saya akan khaskan untuk menyerang, set-pieces dan sebagainya.

Walaupun bermain 4 hingga 5 jam sehari saya akan tidak akan bermain secara berterusan. Saya akan mengambil rehat selepas beberapa perlawanan.

SB: Kejohanan e-sukan selalunya dilangsungkan tanpa henti. Jadi apakah persediaan AmTuah?

AT: Aspek pemakanan sangat penting bagi seorang pemain e-sukan. Untuk itu, saya akan mengambil protein dan makanan dan minuman bergula untuk memastikan saya bertenaga sepanjang kejohanan.

Memandangkan jarak antara satu perlawanan dengan perlawanan yang lain adalah dekat, jadi saya akan makan pisang untuk memberikan saya tenaga.

SB: Siapakah inspirasi AmTuah di dalam bola sepak?

AT: Saya merupakan seorang peminat Real Madrid serta suka dengan corak taktikal Carlo Ancelotti. Dalam permainan saya, saya akan menggunakan taktikal yang digunakan pakai oleh pengurus-pengurus terkenal dunia dan menterjemahkannya di dalam permainan video.

Ia sedikit berbeza dengan cara pemain e-sukan yang lain. Lazimnya mereka akan melihat cara permainan jaguh e-sukan yang lain di laman Youtube.

Ini satu tindakan yang kurang tepat kerana pastinya mereka tidak akan menujukkan corak permainan mereka yang sebenar kepada umum.

carlo-ancelotti-with-the-10th

SB: Apa pendapat AmTuah mengenai industri e-sukan di Malaysia?

AT: Bagi saya industri e-sukan di negara kita mempunyai potensi untuk maju di negara kita. Namun begitu, terdapat 2 perkara yang perlu dihakis untuk memastikan industri ini berjaya.

Pertama, sokongan haruslah diberikan oleh semua pihak termasuk pihak kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Tanpa sokongan, industri e-sukan ini tidak mampu untuk terus bangun dari masa ke masa.

Kedua dan paling penting sekali ada mentaliti masyarakat. Mentaliti rakyat kita hanya memandang industri e-sukan ini hanyalah untuk permainan DOTA sahaja tetapi sebenarnya tidak. Ia juga merangkumi permainan seperti FIFA, Counter Strike Global Offensive (GS-GO) dan League of Legends (LoL).

Selain itu juga, mentaliti masyarakat yang memandang kerjaya sebagai pemain e-sukan ini merugikan perlu dihakis. Walaupun bermain permainan video, pendidikan juga perlu ada untuk seseorang itu menjadi pemain e-sukan.

SB: Soalan terakhir, apa maksud disebalik nama AmTuah?

AT: Nama tersebut adalah gabungan nama saya iaitu Amirul (Am) dengan nama lagenda Melaka, Hang Tuah (Tuah).

Saya menggunakan nama kemelayuan kerana jika saya ke peringkat dunia, saya membawa nama Melayu dan Malaysia ke mata dunia. Saya tak mahu terikut-ikut dengan nama yang berunsurkan kebaratan.

amt

Kesimpulan

Hasil daripada temu bual ini, saya dapat simpulkan untuk menjadi seorang pemain e-sukan yang berjaya memerlukan kesungguhan dan disiplin yang tinggi. Selain itu, pendidikan juga perlu dimiliki agar ia dapat menjamin masa hadapan.

Tidak hairanlah AmTuah yang merupakan peminat Iker Casillas ini mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam di Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK).

Diharap AmTuah akan terus berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang e-sukan serta industri e-sukan di Malaysia terus berkembang dari tahun ke tahun.

Semoga berjaya, AmTuah!

Baca juga: Lelaki Ini Bidas Stigma Dan Budaya Orang Malaysia Yang Suka Kutuk Gamers Tempatan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN