Pemain sayap negara, Faisal Halim mengakui beliau sangat bangga untuk mewakili Harimau Malaya di pentas antarabangsa dan kini dirinya berpeluang untuk mencipta sejarah baharu di pentas Piala Asia 2023.
Faisal boleh dianggap sebagai pemain paling penting kini buat skuad kebangsaan dan sentiasa menjadi pertaruhan utama pegendali negara, Kim Pan-gon di pentas antarabangsa.
Walaupun bertubuh kecil, kelincahan pemain ini tidak boleh dipertikaikan lagi serta kerap membantu Malaysia mencatat keputusan positif khususnya menerusi jaringan penting.
Malah, beliau juga menjadi antara tonggak paling bersemangat di atas padang serta kerap memberi reaksi positif kepada media mengenai perjalanan semasa skuad kebangsaan.
“Saya tidak pernah terfikir dari kecil untuk menjadi pemain bola sepak mewakili Malaysia. Ini semua rezeki dari Allah, saya amat terharu dan bangga,” kata Faisal menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Menjadi antara pemain dipanggil Pan-gon untuk saingan Piala Asia 2023 di Qatar, tentunya nama Faisal antara sangat mencuri tumpuan pasukan lawan menerusi rekod cemerlang dilakar beliau.
Walaupun begitu, Faisal akui beliau sedia untuk mengharungi sebarang cabaran pertahanan lawan untuk menyekat dirinya daripada mencipta sesuatu berbahaya untuk pasukan kebangsaan.
Malah penyerang Selangor itu juga mengetahui setiap pasukan pastinya akan membuat analisa untuk mengetahui kekuatan serta kelemahan negara lawan bakal dihadapi mereka.
Disebabkan itu, Faisal tak menolak kemungkinan ada pasukan turut melihat kelibat Faisal sebagai salah satu ancaman dan menganalisa cara mengatasi dirinya.
“Ya sudah tentu di mana-mana sekalipun kita bermain di liga ataupun di peringkat antarabangsa, sudah tentu setiap pasukan akan ada analisis yang tertentu.
“Kita sebagai pemain kita perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memberi prestasi yang terbaik untuk pasukan.
“Kita pun ada analisis pasukan pasukan, jadi masing-masing ada analisis menentukan 90 minit di Qatar,” katanya lagi.
Berada di Kumpulan E, Malaysia bakal memulakan aksi pertama mereka pada 16 Januari ini menentang Jordan sebelum membuat perhitungan berdepan Bahrain serta Korea Selatan dalam misi untuk cuba melayakkan diri ke pusingan seterusnya.