Saingan Piala Asia 2023 akan membuka tirai tidak berapa lama lagi dengan skuad Harimau Malaya kini dilihat giat membuat persiapan rapi untuk menghadapinya.
Beraksi di Qatar, Malaysia telah diletakkan dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain, dan Jordan yang dianggap memiliki reputasi tinggi di persada antarabangsa.
Walaupun begitu, skuad kendalian Kim Pan-gon ini tidak boleh diambil ringan dengan beberapa keputusan di luar jangkaan telah dilakar pasukan negara sebelum itu.
Menerusi panggilan kali ini, beberapa pemain negara pada pandangan kami di Semuanya BOLA mampu memainkan peranan besar untuk mencuri tumpuan ramai menerusi sumbangan mereka di atas padang buat Harimau Malaya.
Matthew Davies
Pertahanan kanan negara ini seolah hampir pasti untuk mengesahkan kedudukan beliau dalam kesebelasan utama, selepas tampil begitu cemerlang dalam beberapa perlawanan lalu bersama pasukan kebangsaan.
Selain memiliki ciri kepimpinan yang baik di atas padang, sumbangan Davies sebenarnya cukup besar semenjak bawah kendalian Pan-gon di pentas antarabangsa terutama untuk memberi impak di posisi pertahanan serta serangan negara.
Daripada segi fizikal, Davies memiliki kekuatan yang baik untuk berdepan mana-mana serangan lawan selain cukup pantas menutup ruang. Sumbangan pertahanan kanan ini juga cukup tinggi untuk serangan negara menerusi aspek hantaran lintang berkualiti tinggi.
Dion Cools
Setelah agak lama posisi pertahanan tengah negara dilihat kurang konsisten, kehadiran Cools dianggap cukup bernilai buat pasukan kebangsaan menerusi sumbangannya.
Berpengalaman luas di pentas Eropah, Cools memainkan peranan penting di posisi pertahanan negara menerusi teknik beliau yang sangat baik untuk menyerap tekanan lawan.
Malah, pemain ini juga sangat tajam di hadapan gawang gol menerusi tandukannya daripada situasi bola mati untuk menghasilkan jaringan buat pasukan kebangsaan.
Stuart Wilkin
Pemain tengah berusia 25 tahun negara ini jelas menjadi antara pilihan utama Pan-gon ketika ini untuk menjadi maestro buat pasukan kebangsaan sejak beberapa perlawanan lalu.
Wilkin yang beroperasi selaku pemain tengah serangan negara boleh dianggap cukup menyerlah untuk membantu jentera hadapan Malaysia menerusi kreativitinya mencipta lorongan berbahaya.
Malah, beliau juga sangat tenang mengawal tempo permainan serta bijak mencipta kombinasi permainan bersama rakan sepasukan lain untuk mendapatkan jaringan.
Arif Aiman Hanapi
Nama Arif ketika ini boleh dianggap sangat panas di pentas antarabangsa kerana kualiti dipamerkan beliau cukup menyerlah baik bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) atau buat skuad kebangsaan.
Pada usia masih muda, Arif telah pun mempamerkan sisi kematangan cukup tinggi di pentas antarabangsa untuk menjadi antara cukup konsisten memimpin jentera serangan negara.
Selain lincah, Arif juga memiliki kreativiti sangat tinggi serta licik menghadapi pertahanan lawan sebelum membuat lorongan atau percubaan di hadapan gawang gol.
Faisal Halim
Adakah sorakan ‘siuuu’ akan terus kedengaran di Qatar nanti menerusi ketajaman Faisal Halim?
Suatu persoalan yang menarik kini kerana magis Faisal bersama skuad kebangsaan tidak dapat dinafikan lagi menerusi ketajaman serta kelincahan beliau di hadapan gawang gol.
Tunjang utama negara itu sehingga kini masih belum terlepas mana-mana panggilan negara bawah kendalian Pan-gon dan ini mungkin dapat menjadi detik terbaik beliau untuk memperoleh gol paling berharga di pentas tertinggi Asia.