Bakal pemain warisan baharu Indonesia, Nathan Tjoe-A-On terus memberi sensasi sendiri buat para penyokong Sang Garuda kini selepas kejayaan beliau untuk mencatat nama selaku penjaring bersama Swansea bawah 21 (B-21) ketika berdepan Hull City B-21.
Nathan menjadi calon pemain warisan seterusnya kini yang dilaporkan sedang berada dalam proses untuk didaftarkan selaku warganegara buat Indonesia pada masa hadapan.
Pada usia masih muda, Nathan dianggap sebagai suatu aset penting buat Sang Garuda bawah kendalian Shin Tae-yong yang kini mahu mencipta legasi baharu di pentas antarabangsa.
Beraksi di posisi pertahanan kiri, beliau layak untuk beraksi sebagai pemain warisan baharu Indonesia kerana mempunyai darah negara tersebut di sebelah ibunya.
Selain Nathan, seorang lagi calon pemain warisan yang masih berada dalam proses pendaftaran iaitu Jay Idzes juga boleh dianggap sebagai aset masa depan buat Indonesia bawah kendalian jurulatih Korea Selatan itu kerana masih muda.
Kedua pemain tersebut kini ditagih kerana Indonesia bakal menghadapi saingan Piala Asia tidak lama lagi selain mahu tampil kembali cemerlang pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
Mengulas kepada kejayaan gol Nathan, ianya terhasil pada minit ke-57 seepas beliau mendapat umpanan cukup berkualiti daripada rakan sepasukan sebeljm dimanfaatkan kepada bentuk jaringan.
Pertahanan muda ini juga beraksi dalam kesebelasan utama dan membantu Swansea City B-21 membenam cabaran Hull Tiger dengan kemenangan besar 6-1.
Kemenangan tersebut menyaksikan kini Swansea City berada di tangga ketiga Kumpulan B bagi saingan Professional U-23 Development League (U-23 PDL-2) di England.
Pengendali Swansea City U-21 iaitu Liam Ross juga tampil dengan begitu gembira mengenai keputusan dihasilkan oleh Nathan dan rakan sepasukan lain menerusi kemenangan besar itu.
“Saya fikir kami bermain dengan sangat luar biasa dengan para pemain berjaya melaksanakan semua perancangan diterapkan saya untuk berhadapan cabaran pasukan lawan.
“Kami berjaya mencipta dua gol pantas pada awal perlawanan, dengan selebihnya banyak terhasil pada penghujung minit permainan,” kata beliau menerusi perkongsian dibuat oleh CNN Indonesia.
Selain Nathan dan Jay, Sang Garuda terlebih dahulu berjaya mendaftarkan bintang muda dari Wolverhampton Wanderers di England iaitu Justin Hubner sebagai pemain warisan mereka dan sudah pun diperkenalkan secara rasmi beberapa hari lalu.