Kuching City bakal berdepan aksi berliku pada perlawanan hari ini bagi saingan akhir kedua MFL Challenge Cup 2023 menentang cabaran PDRM di halaman sendiri.
Terdahulu, Kuching City diaibkan oleh pasukan lawan menerusi keputusan 0-3 ketika aksi berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dengan aksi permainan begitu longlai ditampilkan.
Tiga jaringan daripada Nabil Latpi, Uche Agba, serta Amir Saiful untuk menjadikan PDRM selesa membawa bekalan tersebut ke saingan pentas akhir kedua di gelanggang lawan malam ini.
Untuk Kuching City, tentunya kebangkitan perlu dilakukan segera dengan pengendali pasukan iaitu Aidil Sharin Sahak perlu membuat beberapa rombakan untuk kembali menghidupkan peluang mereka meraih kejuaraan itu.
Atas kertas, PDRM sebenarnya sudah pun selangkah kini untuk bergelar juara bersama kelebihan tiga gol dimiliki, namun tidak mustahil untuk Kuching City mencipta sesuatu pada baki 90 minit lagi perlawanan.
Jika aksi lalu Kuching City dilihat begitu longlai pada posisi pertahanan, maka sesuatu perubahan wajar dilakukan segera oleh Aidil untuk memperkemaskan lagi posisi tersebut bagi mengelak dibocori pelawat.
Waspada rangkaian serangan PDRM
Seperti diketahui, PDRM memiliki barisan serangan cukup berkualiti musim ini menerusi persefahaman serta kreativiti dimiliki para pemain di posisi tersebut untuk mengatasi lawan.
Nama seperti Nabil Latpi, Marcus Macauley, serta Uche Agba antara yang memainkan peranan penting musim 2023 menerusi kelincahan serta ketajaman dimiliki untuk mendapatkan gol.
Tidak lupa juga Bruno Suzuki yang dianggap memiliki kualiti individu cukup tinggi serta licik untuk memperdayakan barisan pertahanan lawan pada musim ini bersama PDRM.
Selain perlu tampil berdisiplin, barisan pertahanan Kuching City juga tidak boleh terleka walau sedikit untuk membenarkan sebarang peluang dapat terhasil sepanjang aksi di laman sendiri.
Sokongan penuh buat Abu Kamara
Jika diimbas pada aksi lalu, penyerang berbisa Kuching City iaitu Abu Kamara dilihat terlalu berseorangan di posisi hadapan dengan tiada sokongan pemain berdekatan beliau untuk menghasilkan jaringan.
Amir Amri Salleh, Petrus Shitembi, Bruno Dybal antara perlu memainkan peranan penting untuk memastikan peluang sentiasa terbuka buat Kamara menghasilkan jaringan.
Seperti diketahui, Kamara merupakan penjaring terbanyak buat Kuching City musim 2023, dan menjadi suatu kerugian jika beliau tidak mendapat begitu banyak sokongan pada ini untuk memburu sebanyak mungkin gol kepada pasukan.
Apapun, sukar untuk Kuching City sebenarnya bagi mengimbangi semula keputusan perlawanan malam ini sebelum mereka cuba mendapatkan jaringan pendahuluan semula.
PDRM sudah tentu tidak akan berdiam diri dengan pendekatan berbeza mungkin ditampilkan mereka untuk terus meranapkan impian tuan rumah.
Apapun, bola itu bulat dan segalanya boleh berlaku jika para pemain bersatu hati serta mengikut perancangan teliti diletakkan oleh barisan kejurulatihan.