Paul Scholes ‘Tibai’ Bruno Fernandes Kerana Kerap Cari Salah Kawan

Bruno Fernandes dihentam oleh bekas bintang Manchester United kerana beliau menyalahkan rakan sepasukannya atas keputusan seri bertemu Galatasaray awal pagi tadi.

Bintang Portugal itu seolah-olah mahu menyalahkan Andre Onana dan barisan pertahanan Man United atas keputusan seri mereka bertemu Galatasaray dalam aksi saingan Champions League.

Walau bagaimanapun, legenda kelab, Paul Scholes sepertinya tidak gembira tentang hal tersebut, dan mendesak Bruno Fernandes supaya sedar diri yang beliau juga turut melakukan kesalahan.

Harapan Manchester United untuk mara lebih jauh di pentas saingan Champions League musim ini dilihat semakin sukar selepas mereka sekadar mampu mencatatkan keputusan seri 3-3 bertemu gergasi dari Turki.

Skuad kendalian Erik ten Hag itu pada awalnya dilihat bakal memenangi perlawanan ini dengan mudah selepas mereka terlebih dahulu mendahului perlawanan 2-0.

Gol jaringan Alejandro Garnacho dan Bruno Fernandes pada awal aksi babak pertama menyebabkan ramai berfikir Man United bakal mencatatkan kemenangan mudah dalam perlawanan ini.

Walau bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama selepas pasukan tuan rumah berjaya memperoleh gol pertama mereka menerusi Hakim Ziyech.

Onana dipersalahkan kerana membenarkan terhasilnya gol itu dengan ramai mempersoalkan kedudukan beliau ketika berdepan sepakan percuma itu.

Scott McTominay kemudiannya meledak gol ketiga Man United pada aksi babak kedua, seterusnya memberi kelegaan kepada kem Red Devils.

Namun begitu, Onana sekali lagi menjadi duri dalam daging untuk skuad Man United selepas beliau melakukan kesilapan dungu yang menyebabkan gawang golnya dibolosi.

Beliau menepis bola sepakan percuma dari Ziyech ke dalam gawangnya sendiri walau beliau sebenarnya boleh menangkap kemas bola tersebut.

Pemain yang menjaringkan gol ketika aksi di Old Trafford, Kerem Akturkoglu berjaya menjaringkan gol ketiga untuk Galatasaray pada minit ke-71 permainan.

Keputusan 3-3 kekal hingga wisel penamat dibunyikan dan jelas sekali ia bukanlah keputusan yang diharapkan oleh para penyokong Manchester United.

Bruno Fernandes mengeluh menyalahkan rakan sepasukan

Bruno Fernandes meluahkan kekecewaan beliau melihat hal tersebut, dengan beliau seolah-olah menyalahkan Onana dan barisan pertahanan United punca mereka gagal mengutip tiga mata penuh.

“Sukar untuk menerimanya, kami bolos daripada gol gol yang bodoh atau teruk.”

“Kami harus mengawal situasi dan semuanya. Kami berada dua gol di hadapan sebanyak 2 kali dan memiliki banyak peluang lagi untuk membunuh perlawanan ini. Kami tak cukup tajam. Saya tak tahu nak jelaskan macam mana.”

“Kami bolos kerana 2 gol itu dan tiada apa yang kami boleh lakukan sekarang. Jelas sekali kami patut melakukan dengan lebih baik untuk 2 gol [Galatasaray] tersebut, namun itulah yang terjadi.”

“Setiap kali kami melepaskan bolos setiap kali itu kami mendapat peluang yang banyak untuk menjaringkan gol sekali lagi. Pada babak akhir permainan kami ada 4 peluang keemasan untuk menjaringkan gol.”

Bruno Fernandes juga turut mengkritik rakan sepasukannya kerana gagal untuk menghantar bola kepada pemain yang sedang berada di posisi terbaik.

Rata-rata beranggapan Bruno memaksudkan Martial dan Pellistri dengan kedua-dua pemain ini dikatakan tidak memerhatikan kedudukan rakan sepasukan mereka dengan baik.

Bruno Fernandes menyatakan bahawa:

“Kadangkala ianya adalah tentang memberikan bola kepada pemain yang berada di kedudukan terbaik, namun  malangnya kami sendiri yang mempersiakan peluang peluang yang ada.”

“Sukar untuk jujur, kerana saya tak nak terlalu negatif.  Apa yang kami lakukan dalam Liga Juara-Juara tidak mencukupi, kami perlu mengawal permainan kami.”

“Ia bukan kali pertama, malah Copenhagen, saya faham kami kurang seorang pemain, tetapi kami menjaringkan gol 3-2 dan kami perlu memastikan kemenangan dicapai.”

Bruno kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Kami mendahului dengan 2 gol sebanyak 2 kali, dan ada banyak sekali peluang untuk mencetak gol tambahan, malangnya kami tak cukup tajam.”

“Kami perlu memahami jenis permainan ini, tahap ini sudah cukup, anda perlu bijak dan menguruskan permainan dengan lebih baik. Setiap orang perlu bangkit dan bertanggungjawab atas kesilapan mereka sendiri.”

Paul Scholes hentam Bruno Fernandes

Mendengar kenyataan dari Bruno Fernandes itu, legenda Man United, Paul Scholes tampil menghentam bintang Portugal itu dengan menyatakan bahawa:

“Saya tahu dalam temu bualnya dia banyak bercakap tentang kesilapan orang lain, tetapi dia melakukan dua kesilapan besar malam ini dengan memberikan dua kesalahan bodoh yang membawa kepada dua gol Galatasaray,”

Jelas Scholes kepada TNT Sports.

“Pasukan sepenuhnya bertanggungjawab, termasuk dirinya sebagai kapten, perlu bertanggungjawab – ia adalah perlawanan yang mereka harus menang.”

“Mereka gagal dapatkan clean sheet – pertahanan berada di mana-mana sahaja [tidak teratur], penjaga gawang membuat kesilapan, Bruno memberikan sepakan percuma mudah macam tu.”

Kedua-dua sepakan percuma yang menghasilkan gol untuk Galatasaray adalah berpunca dari foul yang dilakukan oleh Bruno Fernandes.

Paul Scholes kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Ia menjadikan permainan senantiasa sukar untuk mereka dan mereka tidak perlu melakukannya.”

Selepas sekadar mencatatkan keputusan seri bertemu Galatasaray, Manchester United selepas ini wajib menang bertemu Bayern Munich untuk layak.

Selain wajib menang, mereka turut perlu berharap agar aksi pertemuan antara Galatasaray bertemu Copenhagen berkesudahan dengan keputusan seri.

Seandainya Manchester United tewas bertemu Bayern Munich, maka mereka bakal mengakhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan terakhir.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN