Pasukan Harimau Malaya akhirnya berjaya mencipta kemenangan sulung mereka bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bagi peringkat Kumpulan D, selepas Malaysia membenam cabaran Republik Kyrgyz menerusi keputusan penuh 4-3.
Beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Malaysia berjaya memperoleh empat gol yang diledak oleh Dion Cools menerusi dua jaringan peribadi, gol sendiri oleh Khristiyan Brauzman, serta Faisal Halim untuk mengetepikan cabaran pelawat.
Walaupun memperoleh kemenangan, Malaysia jelas menghadapi laluan cukup berliku sepanjang aksi berlangsung dengan mereka terpaksa mencipta kebangkitan terlebih dahulu di separuh masa kedua untuk mengesahkn tiga mata penting.
Apa tidaknya, Malaysia yang sebelum itu meledak gol pendahuluan menerusi Dion Cools terpaksa menelan keputusan pahit seketika setelah pelawat berjaya mencetak tiga jaringan berturut-turut, sebelum kebangkitan dicipta Harimau Malaya.
Sepanjang saingan berlangsung, jelas semua pemain negara berjaya memainkan peranan mereka dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan maruah Malaysia tidak dirobek di laman sendiri.
Walaupun begitu, tiga daripada pemain kebangsaan jelas tampil dengan begitu menonjol serta memberi impak besar untuk memastikan kemenangan dapat dirasai oleh seluruh peminat bola sepak Harimau Malaya.
Arif Aiman Hanapi
Tidak boleh disangkal lagi, Arif menjadi pemain paling menyerlah sepanjang tempoh 90 minit perlawanan berlangsung semalam sehingga beliau menerima pujian penuh daripada para peminat menerusi media sosial.
Pada perlawanan tersebut, Arif bukan sahaja mencipta tiga bantuan jaringan buat rakan sepasukan lain mendapatkan gol, jaringan ketiga negara yang diledak sendiri oleh pemain pelawat juga turut tercetus daripada gerakan bintang muda tersebut.
Selain lincah beraksi di atas padang untuk menafikan pertahanan lawan, kombinasi permainan dicipta oleh Arif bersama rakan sepasukan lain juga antara paling mencuri perhatian dan beliau wajar untuk menerima pujian penuh.
Dion Cools
Tatkala posisi serangan negara dianggap buntu untuk mendapatkan gol ketika berdepan Republik Kyrgyz, tampilnya Cools untuk menyelamatkan keadaan menerusi dua jaringan peribadi beliau pada perlawanan tersebut.
Pertahanan kental negara ini boleh dikatakan cukup berbahaya ketika situasi bola mati, dan dua kali Cools mengecewakan penjaga gol lawan menerusi sepakan sudut hasil hantaran sempurna daripada Arif Aiman.
Cools juga bertindak dengan cukup cemerlang pada saingan tersebut menerusi disiplin beliau di posisi pertahanan yang tidak membenarkan penyerang lawan sewenang-wenangnya melepasi pemain ini sepanjang aksi berlangsung.
Matthew Davies
Kapten Malaysia ini berjaya mempamerkan karakter cukup cemerlang sepanjang tempoh 90 minit perlawanan tersebut berlangsung di SNBJ.
Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol pada perlawanan ini, sumbangan Davies untuk posisi pertahanan serta serangan negara wajar dipuji atas disiplin serta fokus penuh diberikan beliau buat skuad kebangsaan.
Malah, Davies juga menjadi antara pemain yang bijak mengawal emosi serta bijak menaikkan motivasi rakan sepasukan lain untuk terus bangkit sehingga ke wisel penamat.