Sri Pahang kini dilaporkan mengambil sikap berwaspada sebelum aksi Liga Super 2023 seterusnya membabitkan pasukan tersebut menentang PDRM pada hari Rabu ini.
Apa tidaknya pasukan tersebut kini boleh dianggap sedang berada di prestasi terbaik mereka selepas merekodkan lima perlawanan berturut-turut tanpa sebarang kekalahan.
Lebih menarik, PDRM juga kini sah mara ke final Challenge Cup selepas pasukan itu merekodkan kemenangan ke atas Penang ketika aksi separuh akhir semalam.
Melihat pada prestasi mereka kini, maka tidak hairan Sri Pahang tampil dengan berwaspada untuk melayan kunjungan PDRM Rabu ini di Stadium Darul Makmur (SDM).
Menurut Sergio Aguero selaku Kapten Sri Pahang, beliau mahu para pemain lain tampil berhati-hati akan pertemuan tersebut untuk mengelakkan pasukan pelawat dapat membawa pulang tiga mata berharga.
“Bagi saya sudah tentu kami mahukan kemenangan dan pada masa sama mahu memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri selepas terikat 2-2 berdepan Terengganu FC (TFC) pada 29 Oktober lalu.
“Kami juga adalah sebuah pasukan yang bagus tetapi prestasi mantap dipersembahkan PDRM ketika ini perlu diberikan perhatian.
“Musim ini PDRM bermain dengan baik dan kami sedar mereka juga memiliki barisan pemain yang bagus yang memerlukan fokus,” kata Aguero menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Sri Pahang kini mempunyai misi getir untuk baki perlawanan Liga Super akan datang, dengan pasukan tersebut tidak mahu keciciran sebarang mata lagi.
Perkara tersebut sebelum ini pernah ditegaskan oleh pengendali mereka iaitu Fandi Ahmad mrngenai kemenangan ke atas PDRM akan menentukan kedudukan mereka bagi saingan Liga Super.
“Bagi saya, kemenangan ke atas PDRM perlu kerana bakal menentukan kedudukan dalam saingan liga antara tempat ketiga dan kelima.
“Setakat ini, PDRM tidak boleh mengejar Sri Pahang tetapi Sabah FC dan Terengganu FC (TFC) antara pencabar.
“Manakala, Kedah darul Aman (KDA) FC sudah berada di hadapan apabila berada di kedudukan ketiga dengan mendahului enam mata iaitu 50 mata berbanding Sri Pahang dengan 44 mata.
“Sebab itu saya katakan bahawa kami akan berusaha untuk mengutip mata maksimum daripada baki empat perlawanan,” katanya.