Sebelum sepak mula aksi separuh akhir kejohanan Pesta Bola Merdeka 2023 pada Jumaat lalu, peminat bola sepak negara disajikan dengan berita yang ‘indah-indah’ sahaja mengenai rumput Zeon Zoysia yang baharu ditanam di padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.
Maka sudah tentu kebanyakan pihak tidak menjangkakan nerlakunya kejadian memalukan seperti rumput terkopak dan pasir berterbangan yang terjadi sepanjang 90 minit aksi Malaysia menentang India.
Syihan baiki padang ke tu?👀#pestabolamerdeka pic.twitter.com/Xz03Hruq5U
— rahmieeee (@rahmi_jono) October 13, 2023
Meskipun keputusan perlawanan memihak kepada skuad negara dengan kemenangan 4-2, namun ia memberikan imej yang kurang baik kepada Malaysia di peringkat antarabangsa.
Seolah-olah semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan dalam arena bola sepak negara tidak mengambil pengajaran daripada peristiwa lalu termasuk tindakan memalukan menolak air keluar dari padang menggunakan penyodok yang berlaku pada tahun lepas.
Keputusan siapa?
Setiap isu yang berlaku, wajar untuk dicari di mana akar kepada permasalahan agar kesalahan itu dapat dikenal pasti puncanya.
Pemilihan SNBJ sebagai venue pertandingan Pesta Bola Merdeka telah pun dibuat seawal April yang lalu ketika Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ditemubual oleh media.
Beliau tentunya menjangkakan tempoh masa kerja-kerja menaik taraf permukaan padang SNBJ yang telah bermula pada bulan Mac tahun ini sudah cukup untuk memastikan rumput yang ditanam sudah cukup matang dan bersedia untuk digunakan pada pertandingan yang telah dirancang pada Oktober.
Sebelum pertandingan bermula, tiada satu pihak pun yang sedia untuk menyatakan ‘kebenaran’ terutamanya kepada pihak media bahawa keadaan rumput di venue ini belum 100 peratus bersedia untuk digunakan secara kompetitif, apatah lagi untuk penganjuran kejohanan peringkat antarabangsa melibatkan pasukan dari luar negara.
Sehari sebelum pertandingan, pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan berbesar hati menjemput Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) selaku penaja untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Padang SNBJ.
Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menyempurnakan Majlis Perasmian Padang Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City (KLSC) pada hari ini. Majlis ini diadakan sebagai penghargaan ke atas kurniaan tajaan dana pic.twitter.com/BRAzPuntAY
— KBSMalaysia (@KBSMalaysia) October 12, 2023
Tetapi sebaik sahaja tamat perlawanan pada Jumaat, ‘nasi sudah menjadi bubur’. Satu demi satu pihak mula mengeluarkan kenyataan sebagai langkah untuk mengawal keadaan dan menerangkan situasi sebenar.
TMJ menerusi ciapannya di Twitter menjadi individu pertama mendedahkan bahawa rumput di SNBJ belum cukup matang kerana akarnya belum cukup kukuh mencengkam tanah.
Kemudian PSM pula mengeluarkan kenyataan media menerangkan beberapa isu seperti masalah pencahayaan, cuaca dan kekurangan masa untuk keseluruhan proses penyediaan padang yang optimum.
Siaran Media – Padang Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City.#PSM #KLSC25 #TeamKBS pic.twitter.com/wsDagZ4Iib
— Stadium.Malaysia 🏟️🇲🇾 (@StadiumMalaysia) October 14, 2023
Di mana peranan FAM?
Selaku badan induk yang menyusun jadual perlawanan atau kejohanan melibatkan skuad kebangsaan, FAM seharusnya mendapatkan maklumat terperinci tentang kesediaan sesebuah venue sama ada ia benar-benar bersedia untuk digunakan.
Hasil daripada idea dan cadangan beberapa pihak, tahun ini FAM sudah berjaya menjalankan beberapa perlawanan antarabangsa di luar Lembah Klang.
Pada bulan Mac dua perlawanan telah berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri dan seterusnya pada bulan Jun dua lagi perlawanan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu.
Skuad Harimau Malaya berpesta gol selepas belasah Papua New Guine 10-0 pada aksi persahabatan tier-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu sebentar tadi.
📸: @FAM_Malaysia #Malaysia #PapuaNewGuine #FAM #AstroRadioNews pic.twitter.com/KhUllvnI43
— Astro Radio News (@AstroRadioNews) June 20, 2023
Beberapa minggu sebelum bermulanya Pesta Bola Merdeka, bukankah FAM sepatutnya sudah pun berkomunikasi dengan PSM bagi mengetahui sejauh mana kesediaan padang SNBJ untuk digunakan sebagai venue kejohanan antarabangsa.
Status atau prestij SNBJ sebagai ‘Rumah Harimau Malaya’ yang mampu memuatkan sehingga 85,000 orang penyokong tidak memberi apa-apa makna sekiranya ia hanya memberikan imej yang buruk kepada Malaysia disebabkan keadaan padang yang teruk.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam kenyataannya kepada media mendedahkan bahawa penentuan SNBJ sebagai venue rasmi Pesta Bola Merdeka dibuat sendiri oleh pihak FAM dan PSM hanyalah pihak yang menyediakan lokasi.
Malah menurut Hannah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menunggu respon daripada FAM tentang isu yang berlaku dan menggesa agar membuat keputusan segera sekiranya mahu menukar venue final ke stadium lain.
Agak mengejutkan, siaran media oleh FAM pada Ahad mengesahkan aksi final pada Selasa akan terus kekal berlangsung di SNBJ.
SIARAN MEDIA: FINAL PESTABOLA MERDEKA 2023 KEKAL DI STADIUM NASIONAL, BUKIT JALIL
▶️ Baca penuh kenyataan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman di https://t.co/d3CiWcEQEk#FAM #HarimauMalaya #PestabolaMerdeka2023 pic.twitter.com/NVUgW1w0k8
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 15, 2023
Keputusan itu dibuat kononya selepas melakukan penelitian dan penilaian dari aspek teknikal melibatkan aspek logistik dan ketiadaan venue lain di Lembah Klang yang mampu menampung jumlah kehadiran penyokong yang dijangkakan tinggi.
Keuntungan atau imej negara?
Timbul persoalan daripada keputusan ini, apakah sebenarnya keutamaan FAM? Adakah kerana SNBJ mampu memuatkan sehingga 85,000 orang penyokong, maka ia dilihat sebagai peluang untuk meraih keuntungan maksimum daripada penjualan tiket?
Semasa kenyataan media tersebut dikeluarkan, FAM sendiri mendedahkan hanya 10,000 keping tiket sahaja yang baru terjual.
Jika tidak memindahkan venue kejohanan ke Johor atau Terengganu sekalipun kerana masalah logistik, FAM masih ada pilihan lain yang lebih dekat seperti Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya dengan kapasiti 25,000 tempat duduk atau Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang mempunyai 18,000 tempat duduk.
FAM Senarai 4 Venue Alternatif Piala AFF 2022 Selain Bukit Jalil, Stadium Manakah Pilihan Terbaik?
Penutup
Selaku penganjur kepada Pesta Bola Merdeka, FAM pastinya akan mengambil kira setiap faktor bagi memuktamadkan pemilihannya dan mempunyai asas yang kuat terhadap keputusan yang dibuat.
Tetapi adalah tidak bertanggungjawab untuk berlepas tangan dengan isu yang berlaku dengan harapan serangan ditujukan kepada pihak lain.
Ketika SNBJ yang padangnya jelas mempunyai ‘kecacatan’ dan belum pulih sepenuhnya yang menjadi pilihan dan dalam masa yang sama ada beberapa venue lain yang boleh dipertimbangkan lebih awal, ia menimbulkan satu persoalan besar.
PSM pula sebagai pemegang hak bagi pengurusan SNBJ pula perlu lebih tegas untuk tidak memberikan lampu hijau sekiranya venue berkenaan tidak bersedia sepenuhnya dan menyedari kesan buruk yang akan berlaku.
Apakah perkara yang menjadi keutamaan semua pihak berkepentingan ini? Keuntungan atau imej negara?