Dua pemain import Kedah Darul Aman (Kedah) 2023 iaitu Moses Atede dan Manuel Ott bakal membuat perhitungan antara satu sama lain selepas Bahrain bersama Filipina akan mengadakan satu aksi persahabatan pada Selasa ini.
Kedua pemain tersebut sebelum itu berjaya memberikan impak cukup besar buat Kedah di posisi tengah bawah kendalian Nafuzi Zain, khususnya Atede yang dibawa masuk pada pertengahan musim 2023.
🔰 NATIONAL CALL-UP 🔰
Tiga pemain KDA FC dipanggil menyertai skuad negara dan akan menyertai beberapa siri perlawanan persahabatan. Selamat berjuang diucapkan kepada Manuel Ott (Philippines)🇵🇭 , Amirbek Juraboev (Tajikistan) 🇹🇯 dan Moses Atede (Bahrain)🇧🇭.
Tahniah! pic.twitter.com/MNGo6LzSQY
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) October 11, 2023
Lebih menarik, ini juga menjadi panggilan sulung buat Atede di pentas antarabangsa bersama Bahrain selepas beberapa musim beliau bergelar pemain profesional.
Untuk rekod, Atede merupakan pemain yang lahir di Nigeria dan mendapat kerakyatan untuk bersama skuad kebangsaan Bahrain.
Pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini beraksi bersama Al Hidd SCC serta Al Muharraq di Bahrain sebelum memulakan karier buat pertama kali di Asia Tenggara untuk Kedah.
Sepanjang beraksi di Bahrain, Atede masih lagi belum berpeluang untuk beraksi bersama skuad kebangsaan tersebut, sehingga akhirnya ia berjaya dibuktikan kini.
Lebih menarik, Atede juga berjaya mengatasi pemain tengah berpengaruh Terengganu iaitu Habib Haroon yang masih tidak dipilih untuk bersama skuad kebangsaan Bahrain.
Untuk Manuel Ott pula, pemain ini bukan lagi nama yang asing dalam pasukan utama Filipina sejak beberapa musim dan menjadi antara tunjang utama negara tersebut di posisi tengah menyerang.
Pengaruh Ott di posisi tengah bersama Kedah musim ini juga tidak boleh disangkal untuk menyaksikan dirinya selaku antara tonggak senior bersama Filipina.
Pastinya sesuatu yang menarik untuk disaksikan pada perlawanan persahabatan membabitkan kedua negara tersebut kerana ini pertama kali Atede bakal berhadapan Ott sebagai lawan di atas padang.
Atede yang berperanan selaku pemain tengah bertahan dijangka akan dibawa turun oleh Juan Antonio Pizzi selaku pengendali Bahrain dalam usaha untuk menyekat ketajaman Ott di posisi serangan.
Aksi tersebut bakal berlangsung pada hari Rabu ini di Stadium Sheikh Ali bin Muhammad Al Khalifa dengan kedua pasukan tersebut pernah bertemu sebanyak lima kali sebelum itu.
Selain Ott dan Atede, seorang lagi pemain tengah Kedah turut terpilih bersama pasukan kebangsaan ialah Amirbek Juraboev yang mewakili Tajikistan dalam saingan Pestabola Merdeka 2023.