Kuala Lumpur City (KL City) umpama mendapat tonik terbaik untuk menaikkan motivasi mereka pada perlawanan hari ini dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 bertemu Sri Pahang di Stadium Darul Makmur (SDM).
Apa tidaknya, dua tonggak import pasukan tersebut yang sebelum ini tidak beraksi iaitu Sebastian Avanzini serta Giancarlo Gallifuoco akan menyertai mereka bagi perlawanan hari ini untuk berdepan cabaran Tok Gajah dalam misi untuk melayakkan diri ke separuh akhir.
Counting down for today's big game!
Let's go Cityboys! 🔥#PialaMalaysia2023 #KLBandarayaRendahKarbon #KLCityFC #ColouringTheCity #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/uWi2vkFtNU— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) September 24, 2023
Perkara ini disahkan sendiri menerusi pengendali utama KL City iaitu Nenad Bacina tentang kehadiran kembali dua bintang import tersebut bersama pasukan untuk aksi hari ini yang dianggap sangat getir.
Sebelum itu, KL City dilihat mengalami sedikit kesukaran khususnya di posisi pertahanan ketika berdepan cabaran Sri Pahang selepas mereka kehilangan Gallifuoco kerana penggantungan kad kuning.
Kehadiran kedua pemain ini dijangka bakal memberi lebih banyak idea buat Bacina dalam usaha mereka untuk mempertahankan kelebihan satu jaringan sebelum itu ketika menghadapi Sri Pahang pada saingan suku akhir pertama lalu.
Walaupun begitu, nasib dua penyerang muda KL City iaitu Haqimi Azim serta T. Saravanan masih lagi belum dipastikan jika dapat beraksi atau tidak kerana mereka masih berada bawah pemantauan.
“Gallifuoco akan kembali, Sebastian Avanzini juga akan kembali. Malah saya akan memantau tahap kesediaan T Saravanan, begitu juga Haqimi Azim,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Untuk aksi hari ini, Bacina sedar tentang laluan berliku bakal dihadapinya kerana mereka akan beraksi di gelanggang keramat Tok Gajah yang pastinya mahu mencipta kebangkitan untuk mencari slot ke separuh akhir Piala Malaysia.
Walaupun mencatat kemenangan 1-0 pada perlawanan lalu hasil jaringan tunggal daripada Romel Morales, Bacina melihat ianya sebagai bukan suatu kelebihan dan sesuatu perlu dilakukan untuk mengelakkan KL City kecewa di tempat lawan.
Namun, pengendali berpengalaman itu tetap tampil dengan sangat positif selain mengharapkan aksi permainan ditampilkan lebih menarik daripada anak-anak buahnya.
Off to Kuantan for 2nd leg 🔴⚪️🚌#PialaMalaysia2023 #KLBandarayaRendahKarbon #KLCityFC #ColouringTheCity #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/I8t1HXgmin
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) September 23, 2023
“Perlawanan berikutnya (aksi kedua Piala Malaysia) dengan Sri Pahang di tempat mereka dah tentu lebih mencabar.
“Saya fikir pemain perlu yakin pada diri sendiri di mana mereka ada kualiti. Inilah yang kita mahu dan saya nak pemain dapat pamerkan aksi menarik,” katanya lagi.
Untuk aksi hari ini, dijangka Bacina akan menurunkan kesebelasan terbaik beliau untuk mengimbangi kekuatan di posisi pertahanan dan serangan supaya KL City dapat menoktahkan ia kepada kemenangan bagi melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2023.