Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee dilaporkan bakal membuat beberapa perubahan dalam senarai pemainnya menjelang aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023.
Sabah yang tampil serba konsisten musim ini menepati ramalan untuk mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia, selepas pasukan tersebut mudah mengatasi cabaran Kuching City dengan agregat 4-1.
Diletakkan sekali lagi selaku pasukan pilihan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan berdasarkan reputasi semasa, pastinya Kim Swee enggan mengambil mudah akan cabaran bakal dihadapi menentang Perak.
Menurut pengendali tersebut, beliau akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri pada Jumaat ini di Stadium Likas untuk cuba mencipta keputusan positif berdepan pasukan lawan.
Namun, beberapa pemain utama Sabah musim ini dijangka tidak akan dibawa turun beraksi menentang Perak iaitu Daniel Ting, Dominic Tan, Stuart Wilkin, serta Darren Lok yang sebelum itu memberi impak besar buat The Rhinos.
Walaupun tanpa kehadiran pemain-pemain tersebut, Kim Swee enggan menganggap ianya sebagai suatu alasan untuk mereka cuba mencipta kemenangan bagi saingan suku akhir ini.
Menyedari prestasi semasa Perak yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini, beliau menyatakan skuad kendaliannya perlu tampil lebih fokus untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Malah, para pemain juga Sabah juga dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah akan cabaran Perak, kerana pasukan kendalian Yusri Che Lah itu pastinya mengintai peluang untuk mendapatkan bekalan gol di gelanggang lawan.
Pada masa sama, Kim Swee juga menganggap tidak begitu banyak perbezaan dalam skuad kendaliannya walaupun tanpa kelibat empat tonggak tersebut, kerana para pemain lain sudah pun menjalani sesi latihan bersama sejak awal musim.
“Kita mempunyai percaturan penting Jumaat ini dengan meletakkan beberapa pemain lain yang telah lama tidak diturunkan.
“Mereka akan mengalas tugas penting. Apa yang penting mereka perlu bermain secara ‘team work’ sekali gus menunjukkan komitmen tinggi dalam perlawanan ini nanti.
“Jadinya, persiapan dan taktikal saya tidak nampak kita akan mempunyai banyak masalah walaupun dengan ketiadaan beberapa pemain lain kerana bersama pasukan kebangsaan.
“Apa yang penting beberapa pemain yang menyertai latihan bersama pasukan kebangsaan dapat mengekalkan kecergasan mereka kerana selepas ini ada beberapa perlawanan yang penting termasuk AFC (Konfederasi Bolasepak Asia),” katanya menerusi laporan dikeluarkan Harian Metro.