Penjaga gol Kelantan, Irfan Haikal pastinya kini mempelajari sesuatu yang sangat penting dalam karier bola sepak selepas mengalami peristiwa sangat ngeri musim ini dalam saingan Liga Super 2023.
Apa tidaknya, Irfan kini menjadi antara penjaga gol saingan Liga Malaysia (Liga M) yang merekodkan sejarah terbaharu untuk dibolosi sebanyak 11 gol ketika bertemu Selangor minggu lalu dengan situasi sangat menyedihkan.
Pada usia masih muda, bebanan ditanggung Irfan bukannya sesuatu perkara mudah untuk ditelan beliau melainkan kata-kata motivasi supaya pemain ini kembali bangkit.
Situasi Kelantan kini boleh dianggap sebagai sangat menyedihkan selepas tampil dengan memberansangkan musim lalu ketika mereka bermain dalam saingan Liga Premier 2022.
Sejak awal musim persaingan liga bermula, segalanya tampil dengan tidak begitu menjadi buat pasukan tersebut selain rentetan isu yang membelenggu Kelantan dalam dan luar padang.
Situasi itu menyaksikan Irfan antara pemain muda yang diserap ke skuad utama bagi menampung kekosongan ditinggalkan bekas tonggak pasukan tersebut sebelum ini.
Jelas beliau, rasa kecewa dirasai seusai aksi bertemu Selangor itu terlalu kuat sehingga air mata Irfan berguguran selepas memboloskan 11 gol di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
“Saya rasa sedih tak dapat berikan yang terbaik untuk perlawanan itu. Saya tak boleh tidur malam selepas perlawanan.
“Saya rasa macam, ‘ya ALLAH kenapa sampai macam ni?’ Apa yang saya buat sampai bolos 11 gol? Masa tu saya rasa diri ini bodoh sangat,” kata Irfan menerusi laporan dikeluarkan oleh Nazreen Izahar yang merupakan wartawan Majoriti.
Tambah Irfan, beberapa pemain Selangor tampil memberikan kata-kata motivasi buat beliau seperti Sharul Nazeem, Brendan Gan, serta Faisal Halim untuk menenangkan sedikit kekecewaan dirasai.
“Mereka cakap kepada saya yang saya telah berikan yang terbaik dan apa yang terjadi bukanlah salah kami sebagai pasukan.
“Mereka turut berpesan kepada saya untuk terus bekerja keras, teruskan melangkah kerana permulaan bagi seseorang yang berjaya itu sangat perit,” ujar dirinya.
Walaupun tewas dengan jumlah jaringan besar, semangat pemain ini kekal tidak luntur dan menjadikannya sebagai suatu pengalaman berguna untuk tampil lebih baik pada masa akan datang.
“Saya terus bersemangat nak main kerana saya diberi peluang untuk tunjukkan bakat beraksi di Liga Super yang merupakan liga utama di Malaysia. Tak semua orang dapat peluang ni, jadi saya gunakan sebaik mungkin peluang yang ada.
“Lagi pun pasukan-pasukan lain semuanya lebih hebat dan kami rata-ratanya dibarisi pemain yang tidak berpengalaman tapi kami tetap beraksi dengan sebaik mungkin hingga wisel penamat,” tambah Irfan.
Menerusi rekod musim ini, Irfan telah pun beraksi sebanyak tujuh perlawanan bagi saingan Liga Super serta mencipta satu ‘cleansheet’ sewaktu bertemu Negeri Sembilan.