Kelantan United bakal berhadapan tugas getir mereka pada malam ini untuk saingan kedua Piala Malaysia 2023 bagi peringkat 16 terbaik dengan menghadapi cabaran daripada Negeri Sembilan di gelanggang lawan.
Pada aksi pembukaan lalu, Negeri Sembilan berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan tunggal yang dilakar oleh penyerang tempatan, Sean Selvaraj.
Jika diikutkan, kedua pasukan menampilkan aksi yang seimbang sepanjang perlawanan lalu berlangsung dengan masing-masing mengalami kesukaran untuk mendapatkan titik penyudah di hadapan gawang gol.
Walaupun sudah mencatat kemenangan pada aksi lalu, ia bukanlah sesuatu yang Negeri Sembilan boleh anggap segalanya sudah selamat kerana lawan mereka pastinya mempunyai rencana tersendiri untuk mencipta kebangkitan.
Kelantan United pastinya kini menjadi pasukan paling sibuk mempersiapkan diri dengsn sebaik mungkin bawah kendalian Ailton da Silva dalam usaha untuk mendapatkan kemenangan sulung dalam saingan Piala Malaysia 2023.
Tampil dengan begitu perlahan pada musim pertama mereka dalam saingan Liga Super serta tersingkir awal untuk aksi Piala FA, pastinya Kelantan United tidak rela terus merekodkan keputusan positif tahun ini.
Walaupun sudah ada rombakan dibuat pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dengan membabitkan beberapa pemain tempatan dan import, keputusan positif masih gagal untuk diterjemahkan pasukan tersebut.
Lima perlawanan terakhir mereka menyaksikan Kelantan United masih gagal mencatat sebarang kemenangan dengan dua daripadanya adalah seri ketika aksi Liga Super bertemu Perak dan PDRM.
Untuk Negeri Sembilan pula, pasukan tersebut sudah pun mencatat kekalahan dua kali berturut-turut sebelum itu dalam aksi Liga Super, dan harapan mereka kini terarah kepada aksi berdepan Kelantan United untuk kembali merekodkan kemenangan.
Tekanan mereka juga kini bertambah, selepas Negeri Sembilan menjadi antara pasukan yang paling banyak dikritik para penyokong atas aksi hambar ditampilkan mereka.
Kemasukan dua penyerang import baharu mereka iaitu Hein Htet Aung serta Youssef Ezzejjari masih gagal untuk memberi impak positif buat pasukan selain sekembalinya tonggak import pasukan tersebut, Casagrande.
Jika dilihat pada peluang, kedua pasukan seimbang untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2023 menerusi prestasi semasa ditampilkan mereka pada siri perlawanan lalu.
Namun, Kelantan United mungkin mampu untuk mencipta kejutan menerusi kualiti pemain dimiliki serta kurangnya tekanan buat mereka berbanding Negeri Sembilan kini dalam kalangan para penyokong.