Warkah Editor: Terima Kasih Semuanya BOLA Untuk Segalanya

Semuanya BOLA

Dalam bola sepak, kita berdepan dengan pelbagai situasi perit. Baik apabila pasukan kegemaran kita kalah di perlawanan akhir atau jatuh tersungkur ke liga bawahan pada hujung musim.

Itu apabila melibatkan pasukan, dengan pemain juga apa kurangnya. Situasi perit melibatkan penyokong apabila melihat pemain kegemaran mereka pergi meninggalkan kelab selepas bertahun-tahun bersama.

Baik pergi meninggalkan pasukan demi ke kelab lain, atau terus bersara, proses perpisahan itu jelas sukar untuk dihadapi.

Begitu juga dalam hidup kita sebagai manusia, fasa perpisahan itu jelas sukar untuk dilalui tidak kira dalam apa jua situasi dan dengan siapa perpisahan itu dibuat.

Dalam hal saya, perpisahan sukar untuk dilakukan adalah membawa diri dari Semuanya BOLA yang sudah sebati dengan hidup ini.

Sepanjang hampir lapan tahun bersama SB, saya telah belajar pelbagai perkara sebagai penulis bermula dengan penulis muda.

Bermula dari tahun 2015, saya mula mengenali dunia penulisan bola sepak dengan misinya adalah untuk mendidik lebih ramai orang kita memahami sukan ini dalam bahasa Melayu.

Cubaan untuk menerangkan fakta bola sepak yang kompleks dalam terma yang mudah difahami dalam bahasa kita bikanlah satu cabaran mudah, namun mujur ianya berhasil dan lebih ramai rakyat Malaysia memahami sukan ini secara mendalam dan tidak menyokong semborono sahaja.

SB juga menjadi wadah kepada saya untuk kembangkan karier. Bukan sekadar menulis, saya juga berjaya diberikan peluang untuk menjadi pengacara menerusi siri BolaTelly (boleh cari di Facebook kami) dan seterusnya sebagai pengulas.

Kenangan menjadi pengacara BolaTelly yang disiarkan di Facebook Semuanya BOLA satu masa dulu.

Saya juga dapat meluaskan jaringan dalam industri bola sepak menerusi SB seperti bertemu pemain, pentadbir bola sepak negara dan juga rakan wartawan dari laman-laman lain baik arus perdana atau pun bebas seperti kami.

Tapi yang paling penting adalah, SB mengubah pandangan saya dalam bola sepak dan tidak lagi melihat dari kaca mata penyokong yang jelas terbatas berbanding sebagai “orang industri”.

Ia menjadikan saya lebih rasional dan neutral dalam memahami situasi bola sepak baik di negara kita atau luar negara. Tetapi dalam masa yang sama, ia tidak meruntuhkan tegarnya sokongan saya kepada pasukan kegemaran.

Apa-apa pun, saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada individu bernama Shahrir Bahar dan Ahmad Muzammil. Kedua-dua individu terawal SB ini adalah punca saya berada di sini hari ini. Mereka telah mengesan dan mengasah bakat saya sebaik mungkin dengan ilmu yang mereka ada.

Tak lupa juga dengan Faiz Edzahar yang menjadi individu yang meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mengemudi pasukan penulisan SB dalam dua tahun terakhir saya di sini.

Begitu juga dengan rakan-rakan penulis saya di SB, baik yang terdahulu atau terkini. Kerjasama yang kami terapkan dalam pasukan berhasil membuatkan SB bertahan sehingga sekarang. Walaupun cabaran makin getir dalam dunia penulisan, tetapi SB sentiasa berusaha untuk sentiasa relevan dan wujud di mata anda semua.

Dan yang terakhir adalah buat pembaca semua yang amat saya hargai. Terima kasih saya ucapkan kepada anda yang tidak pernah jemu membaca tulisan saya baik ianya sekadar berita, rencana atau temu ramah. Terima kasih atas pujian, kritikan dan ada juga makian yang saya terima. Tapi itu lumrah sebagai penulis, ada yang setuju, ada yang tidak setuju bukan?

Saya harap anda akan terus menyokong Semuanya BOLA selepas ini. Terima kasih juga kerana menyokong hasil kerja saya bermula sebagai penulis muda pada 2015 hinggalah tahun 2023.

Kini, sudah tiba masa untuk saya tinggalkan Semuanya BOLA. Bermula sebagai penulis muda, kini saya tinggalkan SB sebagai ketua editor. Saya telah hidupkan impian saya di sini.

Terima kasih daun keladi, Semuanya BOLA.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN