Negeri Sembilan umpama mendapat tonik kekuatan terbaik menjelang aksi Piala Malaysia pertama mereka musim ini untuk berdepan cabaran getir menentang Kelantan United.
Selepas mengharungi musim yang sangat suram dalam saingan Liga Super, pasukan ini mendapat kritikan yang sangat keras daripada segelintir penyokong mereka menerusi media sosial atas rasa tidak puas hati.
Piala Malaysia kini kembali.
Skuad Jang akan bertemu Kelantan United FC, Sabtu ini dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia. pic.twitter.com/4p8HyAKfNw
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) August 2, 2023
Apa tidaknya, Negeri Sembilan gagal untuk mengulangi kejayaan mereka seperti musim lalu selepas menjadi antara pasukan paling menonjol dalam persaingan Liga Super 2022.
Untuk musim ini, persiapan mereka jelas sangat perlahan selain kontroversi pasukan tersebut yang melepaskan beberapa import penting mereka dan dilaporkan pada awalnya pengurusan Hoben Jang Hoben tidaj akan mendapatkan pemain baharu.
Namun terbaharu, pasukan kendalian K. Devan ini berjaya mendapatkan dua pemain import baharu untuk memperkukuhkan jentera serangan mereka pada baki saingan Liga Super serta Piala Malaysia.
Negeri Sembilan kini berjaya mendapatkan khidmat pemain sayap lincah dari Myanmar secara status pinjaman daripada Selangor iaitu Hein Htet Aung untuk baki musim ini bagi status Asia Tenggara untuk menggantikan khidmat Safuwan Baharudin.
Untuk posisi penyerang utama, pasukan itu berjaya menandatangani Youssef Ezzejjari yang buat pertama kalinya bakal mencipta penampilan di Malaysia dan memilik pengalaman luas di rantau Asia Tenggara.
Walaupun pada awalnya Kelantan terlebih dahulu mengumumkan Youssef selaku pemain import baharu mereka, namun penyerang tersebut secara rasminya kini menjadi milik Negeri Sembilan.
Kehadiran Youssef boleh dianggap cukup penting ketika ini buat pasukan tersebut yang mengalami masalah begitu ketara di posisi serangan sejak beberapa perlawanan.
Youssef is a Jang!
Selamat datang kepada pemain kelahiran Sepanyol, Youssef Ezzejjari.
Bertindak sebagai pemain penyerang, pemain berketurunan Maghribi ini pernah beraksi di Liga 1 Indonesia bersama pasukan Bhayangkara dan Liga 1 Thailand bersama Khon Kaen United. pic.twitter.com/mqaez41stn
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) August 1, 2023
Tanpa kelibat Zaquan Adha dan Casagrande yang mengalami kecederaan, dijangka Youssef bakal memperkukuhkan posisi itu untuk aksi malam ini berdepan Kelantan United.
Berhadapan pendatang baharu dari Liga Premier itu bukannya sesuatu yang dianggap mudah kerana mereka juga telah membuat beberapa rombakan baharu untuk memperkukuhkan skuad di segenap posisi.
Malah, Kelantan United juga sebenarnya hampir mencipta kejutan untuk mengatasi Negeri Sembilan pada aksi Liga Super lalu sebelum anak-anak buah K. Devan mencipta kebangkitan pada penghujung perlawanan.
Apapun, dijangka aksi sengit bakal berlaku di Stadium Sultan Muhammad ke-IV dalam usaha kedua pasukan untuk memperoleh kemenangan sulung mereka dalam aksi Piala Malaysia 2023.