Aksi pertama Piala Malaysia 2023 terus bersambung dengan kali ini membabitkan perlawanan tumpuan antara Kelantan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Kelantan yang membuat beberapa rombakan baharu ketika ini dianggap bakal tampil dengan lebih segar untuk berdepan juara Piala FA 2023, JDT dengan turut berkelebihan beraksi di laman sendiri.
Hari perlawanan Piala Malaysia!⚽️🏆
Kelantan FC lwn Johor Darul Ta'zim
Kuala Lumpur Rovers lwn Terengganu FC
Harini Selangor FT lwn Sri Pahang FCPerlawanan tumpuan anda? 🤩 #PialaMalaysia2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/95JFuqQGUU
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 4, 2023
Musim ini segalanya tampak tidak menjadi buat Kelantan, selepas beberapa isu melanda dalam dan luar padang sehingga menyebabkan mereka mendapat kritikan daripada segelintir besar penyokong bola sepak tempatan.
Selepas melalui musim yang cemerlang dalam saingan Liga Premier pada tahun lalu, Kelantan gagal untuk mengekalkan rentak mereka dengan kini berada di tangga tercorot Liga Super.
Sebelum menghadapi aksi pertama Piala Malaysia ini, pasukan tersebut mendapat suntikan baharu daripada segi persiapan para pemain menerusi beberapa tonggak import telah ditandatangani.
Berdepan JDT yang memiliki skuad terbaik kini dalam Malaysia, pastinya mereka tidak rela dimalukan di halaman sendiri dan beberapa percaturan pastinya dirancang oleh Angel Alfredo Vera selaku jurulatih utama pasukan tersebut.
Walaupun menghuni kedudukan terbawah Liga Super, beberapa perubahan positif mula dikesan buat Kelantan yang kini tampil lebih konsisten dalam corak permainan mereka menerusi gandingan pemain-pemain muda.
Misi yang dianggap mustahil ini mungkin boleh dicapai sekiranya barisan import baharu Kelantan berjaya memberi tenaga tambahan serta menggunakan pengalaman mereka untuk membantu pasukan itu melakar kejutan mengatasi JDT.
Antara pemain import baharu paling mencuri tumpuan pastinya terarah kepada perancang baharu mereka dari Mesir iaitu Ahmed Magdy yang dianggap sebagai nadi utama pasukan itu untuk berdepan JDT.
Tampil dengan pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan Mesir, Magdy juga pernah beraksi untuk beberapa kelab utama dalam saingan utama Egyptian Premier League.
Selain itu, kehadiran Dennis Buschening juga dianggap bakal mengetuai jentera serangan Kelantan yang sebelum ini diwakili oleh pemain-pemain muda kurang berpengalaman untuk menterjemahkan peluang di hadapan gol.
Hadir dengan pengalaman beraksi buat UiTM FC, Sabah, dan Kedah Darul Aman (Kedah), dijangka Buschening tidak mengambil masa yang lama untuk cepat menyesuaikan diri bersama corak permainan pasukan tersebut.
Apapun, secara realistiknya, peluang kemenangan tetap terarah kepada JDT yang boleh dikatakan sempurna di segenap posisi walaupun mereka menurunkan skuad kedua.
Tambahan dengan senjata baharu mereka musim ini iaitu Heberty Fernandes yang sudah pun meledak satu jaringan ketika bertemu Selangor, pasukan itu pastinya berada dalam momentum terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya.