Sri Pahang perlu mencipta kebangkitan semula untuk aksi seterusnya dalam saingan Liga Super berdepan Perak dalam misi utama mereka bagi mencari semula tiga mata penting di halaman sendiri.
Beraksi di Stadium Darul Makmur (SDM), Sri Pahang jelas mempunyai kelebihan tersendiri untuk mereka melakar sesuatu positif, menerusi kehadiran ramai penyokong Tok Gajah yang datang untuk bersorak.
Walaupun begitu, motivasi para pemain Sri Pahang juga kini perlu kembali bangkit dan memberi fokus sepenuhnya berdepan Perak untuk mengelak daripada sebarang kejutan berlaku.
Ini kerana Sri Pahang masih lagi segar dengan kekalahan besar 0-4 mereka sebelum itu ketika mereka berkunjung ke Stadium Likas untuk menjadi mangsa amukan sabah yang tampil cukup cemerlang.
Malah, perkara ini turut diingatkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mereka iaitu Datuk Mohammed Suffian Awang supaya para pemain Sri Pahang cepat melupakan kekalahan lalu untuk kembali bangkit.
“Saya harap barisan kejurulatihan dan pemain dapat manfaatkan peluang di halaman sendiri untuk kembali mencatat kemenangan.
“Tiga mata penting dalam usaha untuk berada pada kedudukan terbaik dalam Liga Super biarpun cabaran getir bakal dihadapi daripada pasukan lawan.
“Saya percaya tempoh dua minggu tanpa perlawanan memberi lebih ruang untuk mempertingkatkan prestasi pasukan selain memperbaiki kelemahan,” katanya menerusi laporan telah dikeluarkan oleh Harian Metro.
Selain itu, dijangka dua tonggak import terbaharu Sri Pahang juga sedia untuk dibawa turun pada perlawanan tersebut bagi berdepan cabaran Perak di halaman sendiri.
Rafael Silva yang beraksi selaku penyerang terbaharu Sri Pahang ketika ini dianggap masih belum menyesuaikan diri dengan cepat dalam permainan untuk meledak sebarang gol buat pasukan itu selepas mengharungi dia perlawanan liga.
Walaupun begitu, tonggak tengah terbaharu mereka iaitu Kuvondik Ruziev dilihat semakin memberi impak yang positif di bahagian tengah menerusi kualiti individu beliau dalam mengawal tempo permainan.
Apapun, Perak juga pastinya tidak rela untuk terlepas sebarang mata setelah mereka masih segar dengan kemenangan terbaharu ketika menewaskan Kuching City 2-1 di gelanggang lawan.
Menerusi beberapa rombakan pemain import baharu, Yusri Che Lah berjaya menampilkan barisan pemain muda yang lebih baik serta bersedia di segenap posisi untuk menghadapi mana-mana pasukan lawan.