Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasminya berjaya mendakap kejuaraan Piala FA mereka untuk kali ketiga selepas kejayaan pasukan tersebut untuk mengatasi Kuala Lumpur City (KL City) menerusi keputusan penuh 2-0.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) ini, JDT berjaya memperoleh dua jaringan berharga menerusi ledakan magis Nathaniel Shio Hong Wan serta satu gol peribadi milik Leandro Velazquez.
Juara Piala FA 2023, Johor Darul Ta'zim! 🏆
Tahniah diucapkan!#PialaFA2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/8VxzOlP3EM
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 22, 2023
Hadir selaku pasukan pilihan, jelas Esteban Solari menyenaraikan pemain terbaik mereka pada perlawanan tersebut untuk mengatasi KL City di hadapan ribuan penyokong mereka sendiri.
KL City pula menghadapi pelbagai masalah pada perlawanan tersebut untuk cuba mencabar kejuaraan Piala FA walaupun ada masanya mereka memperoleh peluang keemasan mendapatkan gol.
Pada aksi tersebut beberapa faktor jelas dapat dilihat mengapa JDT berjaya mengatasi KL City terutama sekali pada separuh masa kedua dengan sangat cemerlang.
Kreativiti serangan
JDT menampilkan Bergson da Silva, Fernando Forestieri, serta Arif Aiman selaku pemain serangan utama mereka untuk mengatasi pertahanan lawan.
Walaupun KL City berjaya mencipta blok pertahanan yang sangat berdisiplin untuk mengekang serangan JDT khususnya di separuh masa pertama, ianya tidak menghalang skuad kendalian Esteban Solari untuk membuktikan kelas tersendiri bagi mengatasi isu tersebut.
Kelincahan dimiliki tiga rangkaian pemain ini jelas menyukarkan pertahanan KL City untuk cuba menyerap serangan mereka dan beberapa kali hampir terperangkap menerusi gerakan licik dicipta pada pelbagai arah.
Perbezaan kualiti pemain
Perbezaan paling ketara pada perlawanan ini pastinya terarah kepada kualiti pemain dimiliki kedua pasukan tersebut sepanjang aksi berlangsung.
JDT jelas mempunyai barisan pemain yang hampir keseluruhan mampu mencipta gol, kualiti gelecekan, serta paling ketara ialah stamina sangat tinggi.
🏆Juara Piala FA 2023🏆
JOHOR DARUL TA'ZIM 🔴🔵#NadiWeekend #DemiLigaKita pic.twitter.com/7SjAa712f6
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) July 22, 2023
Ini dapat dibuktikan ketika aksi separuh masa kedua berlangsung dengan JDT masih mampu meningkatkan intensiti permainan mereka jika dibandingkan para pemain KL City gagal mengulangi momentum awal perlawanan.
Para pemain JDT seperti Fernando Forestieri antara yang jelas tidak menunjukkan sebarang penurunan daripada segi stamina dan kekal konsisten sehingga ke wisel penamat.
Malah, gol dihasilkan oleh Hong Wan juga menjadi salah satu bukti JDT memiliki barisan pemain yang sangat berkualiti untuk menghasilkan gol tanpa bergantung harap pada tonggak serangan sahaja.
Sorakan padu pemain ke-12 JDT
Sepanjang aksi berlangsung, sorakan para penyokong JDT jelas tidak putus dan semakin kuat kedengan di dalam stadium untuk menberi lonjakan motivasi kepada pasukan kesayangan mereka.
🎉 Tahniah sekali lagi diucapkan kepada juara Piala FA 2023, Johor Darul Ta’zim! 🔵🔴#PialaFA2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/MknDt7bppB
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 22, 2023
Selain menambah motivasi kepada para pemain JDT, ia sebenarnya turut menyentuh aspek psikologi pasukan lawan yang pastinya sedikit gerun berhadapan ribuan penyokong tuan rumah.
Ini menjadi salah satu faktor utama mengapa JDT sentiasa kebal di halaman sendiri, kerana mereka sentiasa mendapat suntikan moral yang sangat tinggi pada setiap perlawanan dihadapi.