Kenali Bojan Ciger, ‘Ball-Playing Centre Back’ Yang Lengkapkan Falsafah NafuziBall

Bojan Ciger

Apabila berbicara perihal NafuziBall, sudah tentu ianya dikaitkan dengan sistem permainan bola sepak moden yang berasaskan dominasi penguasaan bola yang kini menjadi nadi permainan pasukan Kedah Darul Aman (Kedah).

Maka sudah tentu, fokus utama sebahagian besar penyokong Kedah lebih tertumpu kepada pemain-pemain seperti Manuel Hidalgo, Manuel Ott, Lee Tuck, dan terkini, penyerang import sensasi mereka Ifedayo Olusegun yang direkrut ketika jendela kedua perpindahan baru-baru ini.

Namun, terdapat seorang pemain berkualiti yang menjadi salah seorang tonggak penting bagi menjayakan falsafah permainan NafuziBall, terutamanya dalam menggerakkan binaan serangan Kedah setiap kali memperoleh penguasaan bola.

Pemain yang dimaksudkan tersebut adalah Bojan Ciger yang direkrut daripada kelab berpangkalan di Uzbekistan, Navbahor Namangan pada awal musim. Beliau bermain di posisi ‘left centre-back’ dalam sistem bek berempat yang kerap digunakan oleh Nafuzi Zain musim ini.

Ketika aksi Liga Super Malaysia di antara Kedah dan Kelantan United baru-baru ini, Ciger mempamerkan aksi yang konsisten dalam menggerakkan binaan serangan pasukannya, seiring dengan peranan ‘ball-playing defender’ yang dilaksanakannya dalam perlawanan ini.

Analisis kami kali ini akan memberi penumpuan bagaimana kelancaran gerakan serangan pasukan Kedah dimulakan oleh Ciger.

Aspek positioning

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh laman web wyscout, Ciger mempamerkan kemampuan untuk bermain di garisan permainan yang tinggi, sekali gus berupaya mencipta situasi serangan yang menekan pemain pasukan lawan.

Kemampuan bermain di garisan tinggi ini juga membolehkan Kedah untuk segera melakukan counter-pressing bagi menghentikan sebarang peluang pasukan lawan untuk melancarkan transisi serangan yang merbahaya.

Ansur maju pergerakan bola ke zon lebih tinggi

Keselesaan serta kemahiran Ciger mengawal bola dalam situasi tekanan juga membawa nilai tambah buat Kedah, apabila kualiti teknikal ini berupaya membantu mereka untuk memastikan ansur maju pergerakan bola dapat dilaksanakan dengan teratur serta berkesan.

Gambar di atas merupakan statistik yang menunjukkan hantaran-hantaran tepat yang berjaya dilakukan oleh Ciger ketika perlawanan menentang Kelantan United tempoh hari.

Statistik ini jelas membuktikan kemampuan pemain ini dalam membantu pasukannya dalam aspek ansur maju permainan ke zon serangan yang lebih tinggi.

Gambar di atas merupakan antara contoh yang boleh menggambarkan peranan yang dimainkan oleh pemain ini.

Ketika beliau memperoleh penguasaan bola, rakan sepasukannya iaitu Ott melakukan gerakan helah bagi menarik keluar pemain lawan bersamanya. Situasi ini membuka lorong hantaran buat Ciger.

Bagi membolehkannya memperoleh ruang serta masa bagi melakukan 1v1 penembusan kepada Ifedayo yang turut menewaskan enam pemain Kelantan United.

Kombinasi permainan di antara Ifedayo serta Ott berjaya meletakkan Kedah dalam kedudukan serangan yang merbahaya dan berpotensi menjaringkan gol.

Kualiti hantaran ‘diagonal’

Ciger juga turut berupaya melakukan satu hantaran secara diagonal yang mampu merosakkan kepadatan blok pertahanan lawan dengan pantas.

Mengambil situasi di atas sebagai contoh, Ciger mengubah hala permainan dengan melakukan hantaran secara diagonal kepada Hidalgo yang beroperasi di bahagian sisi padang.

Situasi ini mengakibatkan pemain-pemain Kelantan United sedikit bergelut untuk memperbetulkan struktur bertahan mereka bagi mengimabngi hantaran diagonal tersebut, sekali gus menjadikan organisasi bertahan mereka menjadi sedikit kelam kabut, serta membuka ruang untuk dieksploitasi oleh barisan serangan Kedah.

Pembelian tepat oleh Nafuzi

Berbeza dengan Kelantan United yang sakan berbelanja ketika jendela perpindahan kedua ketika ini, kebijaksanaan Kedah dalam aspek pembelian pemain wajar dipuji.

Ini berikutan profil setiap pemain yang dibawa masuk ke dalam pasukan menepati piawaian, serta bertepatan dengan falsafah permainan Nafuzi.

Persembahan permainan yang berkualiti dipamerkan Kedah dalam perlawanan ini menjadi satu petunjuk betapa pentingnya keharmonian diantara barisan kejurulatihan serta pengurusan tertinggi pasukan dalam aspek strategi pembelian pemain, sekali gus membantu peningkatan prestasi pasukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN