Skuad bawah 17 negara (B-17) gagal untuk memulakan kempen saingan Piala Asia B-17 di Thailand dengan langkah positif, setelah mencatat kekalahan 0-4 di tangan Yaman bagi peringkat Kumpulan A.
Setelah mengharungi beberapa aksi persahabatan dengan cemerlang, Malaysia B-17 gagal mengekalkan momentum tersebut untuk mendapat sebarang mata pada perlawanan sulung mereka.
Keputusan Masa Penuh
Kumpulan A Piala Asia B-17 2023
YEMEN 🇾🇪 4-0 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Abdulrahman Al-Khader 21’ Adel Abbas 31’ Anwar Hussein 47’ (P) Adib Ibrahim 88’ (GS)#FAM #HarimauMalaya #AFCU17 pic.twitter.com/LsH7l4lvvp— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 15, 2023
Malah, aksi permainan yang ditampilkan juga tidak begitu menyakinkan, selepas pasukan lawan lebih banyak mendominasi perlawanan sehingga ke wisel penamat.
Tumpuan utama pastinya terarah kepada posisi pertahanan pemain muda negara yang dilihat kurang berdisiplin serta kerap kehilangan bola untuk memberi ruang buat pasukan lawan.
Untuk aksi seterusnya, skuad muda negara perlu mencipta kebangkitan kembali untuk menghidupkan semula peluang ke pusingan seterusnya serta merebut tiket ke slot Piala Dunia hujung tahun ini.
Malah, pengendali skuad B-17 negara iaitu Osmera Omaro juga menyatakan mereka akan kembali bangkit untuk mengintai peluang ke pusingan suku akhir Piala Asia.
Tanpa berselindung, Osmera mengakui pasukan lawan tampil lebih baik berbanding Malaysia sambil menyifatkan menang dan kalah itu merupakan sebahagian daripada adat permainan.
“Yaman adalah pasukan yang baik, tahniah diucapkan kepada mereka.
“Bola sepak memang begini, kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kita kalah. Kita akan bangkit dalam menang perlawanan yang seterusnya,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Kedudukan semasa peringkat Kumpulan A kini menyaksikan Malaysia berada di kedudukan tercorot selepas Laos hanya tewas tipis 1-2 sahaja di tangan Thailand.
Perlawanan seterusnya boleh dianggap sangat penting buat skuad kebangsaan B-17 untuk kembali mencari tiga mata penting bagi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.
Malaysia bakal berdepan Laos pada hari Ahad ini di Stadium Thammasat, Bangkok sebelum perlawanan akhir peringkat kumpulan menentang Thailand yang juga merupakan tuan rumah.
Jika Malaysia B-17 mahu layak ke saingan Piala Dunia, mereka perlu melepasi ke pusingan separuh akhir Piala Asia sekurangnya untuk mendapatkan slot tersebut.
Pastinya Osmera perlu bekerja lebih keras untuk merangkai taktikal lebih ampuh ketika berdepan Laos selain menaikkan kembali motivasi para pemain.