Penyerang Kelantan United, Jose Elmer Porteria (OJ Porteria) boleh dianggap sedang menikmati satu musim yang sangat bagus ketika ini dalam saingan Liga Super 2023 menerusi prestasi konsisten dipamerkannya.
Ketika ramai penyokong membicarakan tentang penyerang-penyerang import handalan lain, Porteria dengan tenang memulakan musim pertama beliau di Malaysia bersama Kelantan United dengan aksi cukup menyakinkan.
Porteria merupakan satu lagi pemain kebangsaan Filipina yang menyertai Liga Malaysia (Liga M), selain kelibat Omid Nazari dan Manny Ott yang sudah pun mempunyai tempat bersama kelab masing-masing.
Pada usia 29 tahun, Porteria ketika ini sudah pun menjaringkan empat gol keseluruhan buat Kelantan United daripada 12 perlawanan dihadapi beliu bersama pasukan itu selain satu bantuan jaringan turut direkodkannya.
Walaupun bukan bertindak selaku penyerang utama, Porteria menjadi pemain yang paling aktif di hadapan gol menerusi kelincahan serta kreativiti dalam membuka peluang buat Kelantan United mendapatkan jaringan.
Untuk aksi seterusnya berdepan Selangor, pastinya kelibat Porteria akan menjadi tumpuan utama Kelantan United dalam usaha untuk mencipta kejutan mengatasi pelawat.
Kelantan United bakal melayan kunjungan Selangor dalam aksi pusingan kedua Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, selepas mereka mencipta kemenangan sulung sebelum itu mengatasi Kelantan TRW menerusi jaringan besar 4-1.
Pada perlawanan lalu, Porteria menjadi pemain paling mencuri tumpuan selepas meledak dua jaringan ketika mereka menewaskan Kelantan TRW bersama persembahan cukup menyakinkan.
Selangor pula pastinya masih mengalami kejutan selepas tewas pada perlawanan lalu menerusi keputusan 0-1 di tangan PDRM dan peluang tersebut pastinya ingin digunakan Kelantan United untuk cuba mengintai tiga mata seterusnya.
Selain Porteria, beberapa lagi pemain Kelantan United pastinya harus diawasi oleh barisan pertahanan Selangor untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku di gelanggang lawan.
Penyerang utama Kelantan United iaitu Devid Santana antara menjadi tumpuan utama untuk diberi perhatian oleh pertahanan Selangor ekoran ketajaman serta kekuatan fizikal dimiliki pemaim ini sering memberi ancaman utama kepada lawan.
Malah, kelibat bintang tempatan seperti Syazwan Zainon serta Indra Putra Mahayuddin juga masing-masing sudah membuktikan umur bukan penghalang untuk mereka mengekalkan ketajaman dalam saingan Liga Super.
Apapun, Selangor masih lagi diletakkan sebagai pasukan pilihan dan berpeluang meraih keputusan positif di gelanggang lawan berdepan Kelantan United.
Cuma, jika mereka kehilangan fokus, berkemungkinan episod lama akan sekali lagi menghantui mereka seperti aksi berdepan PDRM lalu.