Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui yang pasukannya tidak dapat menahan asakan yang terlalu kuat oleh Manchester City hinggakan gergasi La Liga itu ‘terduduk’ di England.
Real terpaksa melepaskan mahkota kejuaraan UEFA Champions League (UCL) mereka selepas dibelasah hebat oleh City dengan jaringan 4-0.
Kekalahan memalukan tersebut membuatkan skuad Ancelotti disingkirkan di peringkat separuh akhir menerusi agregat 5-1.
Bercakap selepas perlawanan, Ancelotti mengakui yang pasukannya ‘lemas’ dengan tekanan melampau diberikan oleh skuad Pep Guardiola.
Hal ini telah menyebabkan pasukannya itu memboloskan dua gol di separuh masa pertama dan itu telah membuatkan tugasan mereka semakin sukar.
“Mereka bermain dengan lebih baik dan berhak untuk menang.
“Mereka meletakkan tekanan yang tinggi sejak daripada awal dan ianya menjadi buat mereka kerana mereka menyukarkan kami untuk mendapatkan bola serta berjaya menjaringkan dua gol [di separuh masa pertama],” ujar Ancelotti menerusi Channel News Asia.
Ancelotti cuba untuk mengubah perkara itu di separuh masa kedua namun ianya tidak berhasil dan kekalahan ini amat perit untuk diterima olehnya.
“Ia adalah satu kekalahan yang menyakitkan, amat menyakitkan. Tetapi ini boleh terjadi. Kami kena belajar supaya pada musim hadapan ianya menjadi lebih baik.
“Kami mara ke separuh akhir UCL dan menentang pihak lawan yang cukup kuat, mereka bermain dengan cukup baik dan mereka buatkan kami tidak layak ke perlawanan akhir.
“Kami cuba untuk bangkit pada separuh masa kedua tetapi ianya tidak menjadi,” kata Ancelotti lagi.
Jaringan berganda daripada Bernardo Silva pada separuh masa pertama ditambah dengan gol Manuel Akanji serta Julian Alvarez membawa City ke perlawanan akhir bertemu Inter Milan.
Mereka cuba untuk menebus kekecewaan kalah pada aksi akhir 2021 ditangan Chelsea ketika itu.