Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Leandro Velazquez diangkat sebagai pemenang bagi Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Super 2023 untuk bulan April.
Pertandingan yang dianjurkan oleh PFA Malaysia ini menyaksikan Velazquez memenangi pertarungan lima penjuru melibatkan kesemua calon yang terdiri daripada pemain import.
Velazquez memperoleh gelaran tersebut selepas menewaskan pemain-pemain seperti Soony Saad (Penang), Ayron del Valle (Selangor), Stefano Brundo (Sri Pahang) dan Paulo Josue (Kuala Lumpur City).
Kemenangan ini menyaksikan kualiti Velazquez sebagai pemain tengah terus mendapat perhatian dan pujian apabila pada April lalu, pemain ini menjadi nadi penting JDT di bahagian tengah dalam misi mereka untuk mengekalkan rekod tanpa kalah.
Selain itu, Velazquez turut menjaringkan tiga gol pada bulan April untuk melengkapkan persembahan cemerlangnya.
Apa yang menjadikan kemenangan ini lebih signifikan adalah dominasi JDT dalam anugerah ini cukup mantap dan diteruskan dengan jayanya.
Hal ini kerana, sebelum ini anugerah ini berjaya ditawan oleh Arif Aiman ketika ianya dipertandingkan bagi mencari jagoan untuk bulan Februari dan Mac serentak.
Kemenangan ini juga menjadi petanda betapa pentingnya Velazquez kepada JDT untuk sekian lamanya menabur bakti kepada Harimau Selatan.
Tahniah kami ucapkan kepada Velazquez atas kejayaan ini!