Arahan Terbaharu KPM Hanya Merencatkan Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi

NFDP KPM

Pening dan runsing. Itulah beban perasaan yang sedang dihadapi oleh jurulatih-jurulatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di peringkat akar umbi ketika ini disebabkan arahan terbaharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Surat yang dikeluarkan pada 5 Mei lalu telah membuat ketetapan mengenai penangguhan sebarang aktiviti luar bilik darjah ekoran fenomena cuaca panas tidak menentu yang dikhuatiri memberi komplikasi kepada kesihatan murid.

Bagaimanapun, pengurusan NFDP di bawah pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) telah memberi arahan bahawa semua latihan melibatkan Akademi Tunas (AT) dan Pusat Latihan Daerah (PLD) boleh diteruskan dengan beberapa panduan seperti pemantauan cuaca, pemakaian dan waktu rehat minum yang kerap.

Apa yang membingungkan adalah semua latihan tidak boleh dilaksanakan di semua premis dan fasiliti di bawah pengawasan KPM. Maka jurulatih AT dan PLD telah diminta untuk mencari sendiri padang alternatif seperti padang awam atau padang berbayar di luar.

Langkah populis?

Adakah arahan KPM ini dibuat secara semberono tanpa mengambil kira kajian terperinci bilakah tempoh waktu yang ‘tidak sesuai’ untuk aktiviti luar dilaksanakan?

Ataupun arahan yang dikeluarkan KPM ini hanyalah langkah populis oleh menterinya?

Arahan ‘menghalang’ semua sesi latihan secara serta merta di semua fasiliti KPM ternyata langkah yang tidak bijak. Bukankah pihak kementerian boleh memberikan panduan yang sama seperti mana yang dikeluarkan oleh pihak NFDP kepada jurulatih.

Apatah lagi kebiasaannya sesi latihan ini dilakukan seawal jam 7.00 hingga 9.00 pagi dan kemudian 5.00 hingga 7.00 petang yang mana secara saintifiknya cuaca dan suhu pada waktu itu tidaklah terlalu panas sehingga memberi risiko strok haba.

Malah para jurulatih juga masih ‘berakal’ dan realistik untuk menilai serta membuat keputusan setelah mengenalpasti keadaan cuaca yang bersesuaian untuk menjalankan aktiviti luar.

Tetapi apa yang berlaku adalah latihan tidak lagi dibenarkan di semua premis atau fasiliti di bawah pengawasan KPM secara serta merta.

Merempat dan mengemis

Maka apa yang berlaku ketika ini adalah jurulatih-jurulatih terpaksa ‘merempat’ untuk mencari padang latihan dan ianya begitu sukar untuk AT dan PLD di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.

Kebanyakan padang awam di ibu kota yang jumlahnya amat terhad telah pun dipenuhi oleh orang awam.

Maka pilihan yang ada adalah menjalankan latihan di padang berbayar yang harganya seperti sedia maklum begitu tinggi dan membebankan. Malangnya bayaran padang ini tidak ditanggung oleh pihak MSN dan jurulatih terpaksa ‘mengemis’ dengan ibu bapa.

Jika jurulatih dikehendaki melaksanakan 12 sesi latihan minimum dalam tempoh sebulan, berapa jumlah yang perlu ditanggung?

Tindakan untuk menghentikan serta merta semua latihan di premis KPM ini hakikatnya telah membantutkan pembangunan pemain-pemain akar umbi dan menyusahkan jurulatih-jurulatih separuh masa (JSM) yang selama ini begitu komited dalam menjalankan tugasan mereka.

Jika mengambil kira elaun sebanyak RM500 yang diterima untuk 12 hingga 15 kali sesi latihan setiap bulan, tidak termasuk kejohanan yang diadakan pada hujung minggu, ternyata elaun tersebut tidak berbaloi. Tetapi jurulatih di peringkat akar umbi ini hanya berbekalkan semangat, cinta dan rasa tanggungjawab mereka terhadap bola sepak negara.

Penutup

KPM selaku pemegang taruh NFDP sepatutnya bersikap lebih realistik. Sejak arahan terbaharu dikeluarkan, kebanyakan sesi latihan terpaksa ditangguhkan dan ketiadaan latihan untuk jangka masa yang lama sudah pasti memberi kesan kepada prestasi dan pembangunan pelatih di peringkat akar umbi ini.

Jika cuaca panas menjadi alasan untuk menghalang semua aktiviti luar, maka tidaklah negara-negara yang suhunya jauh lebih panas daripada negara kita ini seperti di Afrika berjaya melahirkan pemain bola sepak berkelas dunia. Malah mereka telah pun melangkah ke Piala Dunia.

Berikan garis panduan yang realistik, bukan bertindak menghentikan latihan di premis KPM dengan serta merta.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN