Skuad bawah 22 (B-22) negara kini secara rasminya sudah pun tersingkir daripada meneruskan perjuangan dalam saingan Sukan SEA untuk edisi 2023, selepas terkandas di peringkat kumpulan.
Walaupun tampil dengan persiapan serba baik terutama ketika mereka mengharungi saingan Merlion Cup di Singapura sebelum itu, pasukan ini gagal untuk mengekalkan momentum dalam aksi Sukan SEA di Kemboja.
Kedudukan Akhir Kumpulan B, Bola Sepak Lelaki Sukan SEA 2023
* Selepas Hari Perlawanan 5 pada Khamis, 11 Mei 2023
* Thailand B-22 dan Vietnam B-22 layak ke pusingan separuh akhir Sukan SEA 2023#FAM #HarimauMalaya #Cambodia2023 pic.twitter.com/36EkAFl8WB
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 11, 2023
Ketika ini, pelbagai persoalan timbul yang mempertikaikan aksi hambar dipamerkan skuad B-22 negara serta kegagalan mereka untuk mara ke pusingan separuh akhir seperti tahun lalu.
Pengendali skuad B-22 negara iaitu E. Elavarasan menyatakan ketika ini mereka akan mengadakan perbincangan untuk mengenal pasti kelemahan yang ada sebelum itu ketika dalam saingan peringkat kumpulan.
Menurut pengendali berpengalaman itu, segala perbincangan perlu dibuat untuk meneliti kelemahan pasukan secara menyeluruh bagi diperbaiki semula pada masa akan datang.
“Kita akan terus memandangkan ke depan dan meneliti di mana aspek kelemahan yang perlu kita baiki. Apa yang penting pasukan perlu kekal positif dan jadikan saingan di sini sebagai pengalaman berharga.
“Buat peminat bola sepak tempatan, kami memohon maaf kerana tidak dapat membawa pasukan ke pusingan separuh akhir. Terima kasih kepada mereka yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan ketika kalah atau menang.
“Penghargaan juga wajar diberikan kepada semua kelab yang sudi melepaskan pemain mereka untuk mengharungi temasya Sukan Sea kali ini,” katanya menerusi Harian Metro.
Walaupun gagal melayakkan diri ke pusingan separuh akhir, skuad B-22 negara sekurangnya mampu mengubati kedukaan peminat bola sepak negara pada aksi terakhir bertemu Singapura.
Pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B itu, Malaysia mudah membenam cabaran Singapura menerusi kemenangan besar 7-0 bersama aksi lebih berkualiti.
T. Saravanan muncul selaku wira negara setelah penyerang muda Malaysia itu tampil meledak empat gol bersama aksi yang cukup baik sepanjang perlawanan berlangsung.
Malah, perlawanan tersebut juga menyaksikan Malaysia B-22 buat pertama kali tidak dibolosi gol sepanjang mengharungi empat aksi di peringkat kumpulan.
Pada masa sama, Elavarasan mengakui kekangan masa menjadi salah satu faktor mengapa skuad kebangsaan B-22 gagal untuk tampil lebih baik pada saingan Sukan SEA kali ini.
Keputusan Masa Penuh
Kumpulan B Bola Sepak Lelaki Sukan SEA 2023 | Khamis, 11 Mei 2023
SINGAPURA 🇸🇬 0-7 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ T. Saravanan 14’ 48’ 53’ 62’ Haqimi Azim 45’+2’ Mukhairi Ajmal 87’ Aiman Afif 90’+3’#FAM #HarimauMalaya #Cambodia2023 pic.twitter.com/WUv4kDD9Iz
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 11, 2023
“Beberapa pasukan datang ke sini dengan persiapan yang baik, buat Malaysia apa yang kita lakukan hanya kumpulkan dan bawa mereka (ke sini).
“Namun, perlawanan demi perlawanan mereka bertambah baik tetapi kita kalah pada dua perlawanan penting dan jika seri, mungkin situasi berbeza buat pasukan,” katanya.