Penang wajar berterima kasih kepada Soony Saad apabila penyerang itu meledak gol kemenangan buat tuan rumah, mengatasi Kuching City 2-1.
Perubahan saat-saat akhir terpaksa dilakukan Manzoor Azwira apabila dua pemainnya terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke stadium, lewat petang tadi. Salah seorangnya merupakan tonggak utama di bek kiri, Azmeer Aris – telah turun beraksi dalam sembilan perlawanan.
Kuching City pula tampil dengan barisan terbaik mereka terutamanya di benteng apabila dapat menyenaraikan empat tonggak utama iaitu Mihailo Jovanovic, Celio Ferreira, Qayyum Marjoni dan Badrul Affendy Mohd Fadzli.
10 minit pertama di babak pertama, perlawanan tampak sedikit seimbang dan bola lebih banyak berlegar di middle third. Tiada percubaan bahaya mampu dilakar jentera serangan kedua-dua pasukan ke gawang lawan.
Penang mempamerkan penguasaan permainan, tetapi benteng pelawat mempamerkan disiplin yang sangat baik dalam membendung tiap asakan.
Sama ada Adriano mahupun Nik Akif Syahiran tampak masih belum lagi mampu mencipta hantaran lolos kepada Soony Saad atau Giovane Gomes.
Untuk Kuching City, jentera tengah mereka tenggelam sepenuhnya dalam perlawanan ini dan langsung tidak berupaya mengekalkan penguasaan.
Dua peluang dimiliki tuan rumah di minit ke-20 dan ke-21, namun rembatan Soony Saad terkena benteng sementara Rafael Vitor gagal menanduk masuk peluang terbuka dimilikinya berpunca daripada sepakan penjuru.
Dalam situasi serangan balas pantas dimiliki pelawat, gerakan antara dua pemain, Abu Kamara dan Amir Amri Salleh berjaya disudahkan dengan jaringan pembukaan perlawanan oleh Abu Kamara di minit ke-32. Itu merupakan percubaan pertama mereka ke gawang Penang, malam ini.
Ini adalah kali kedua Kuching City berjaya mendahului perlawanan selepas kali terakhir melakukannya ketika terikat 1-1 berdepan Kelantan United.
Bagaikan dikejutkan daripada lena, Penang bangkit untuk mengatur asakan berbahaya ke kubu lawan tetapi dua peluang menerusi Soony Saad dan Gomes ditepis penjaga gol berpengalaman pelawat, Norazlan Razali.
Penang boleh masuk ke bilik persalinan dengan perasaan lega apabila bek tengah, Khairul Akmal Rokisham menyudahkan peluangnya saat Norazlan terlepas tangkapannya membolehkan kedudukan terikat di minit ke-45.
Minit ke-51, Soony Saad melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan Norazlan untuk gol kedua tuan rumah hasil gerakan yang dimulakan olehnya sebelum terjatuh dan bangkit melepaskan rembatan.
Kuching City mempamerkan permainan yang lebih teratur di babak kedua, tetapi sentuhan terakhir di jentera serangan acapkali mengecewakan.
Antaranya di minit ke-59, Abu Kamara gagal menambah koleksi jaringannya apabila gagal menanduk masuk hantaran lintang oleh Amir Amri diikuti pada minit ke-68 apabila sekali lagi gagal menyambar peluang di depan gol.
Kedua-dua pasukan semakin memperlahankan tempo permainan menuju ke wisel penamat dengan tiada asakan-sakan berbahaya mampu dicipta.
Minit ke-83, penjaga gol tuan rumah, Azfar Arif menyelamatkan rembatan deras Abu Kamara selepas penyerang itu melepasi kawalan benteng.
Perlawanan berakhir dengan tiada tambahan gol buat kedua-dua pasukan menyaksikan Penang meneruskan rentak kemenangan untuk kali ketiga berturut-turut, sementara Kuching City tumpas kali ketiga berturut-turut.