Penyerang bertubuh tegap, Shahrel Fikri Md Fauzi dijangka bakal menggegarkan kembali arena bola sepak tempatan, setelah mengharungi musim agak suram sejak musim lalu.
Menyertai Negeri Sembilan pada musim ini, Shahrel pastinya mengimpikan sentuhan berbisanya kembali dibangkitkan untuk menjadi sebagai salah seorang penyerang tempatan yang menyerlah.
Senarai penjaring gol NSFC setakat perlawanan LS8.
Casagrande muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 3 gol, diikuti oleh Mark Goulon.
Mahalli, Levy, Shahrel dan Tommy Mawat masing-masing telah berjaya membuka akaun jaring bersama skuad Jang 💪💪 pic.twitter.com/ArI1QP6pvL
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) April 17, 2023
Malah sejak beberapa perlawanan ini bersama Negeri Sembilan, kelibat Shahrel jelas memberi impak besar di posisi serangan pasukan menerusi kelincahan dipamerkan di atas padang.
Walaupun begitu, ketika ini Shahrel lebih banyak bermula dari bangku simpanan dan hanya sekali diberi peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama.
Disebabkan itu, pemain tersebut kini dilaporkan bakal diberi peluang pada masa akan datang untuk membarisi kesebelasan utama Negeri Sembilan.
Menurut pengendali utama Negeri Sembilan iaitu K. Devan, Shahrel kini dalam proses untuk dipersiapkan sepenuhnya supaya mampu beraksi penuh dalam tempoh 90 minit perlawanan masa akan datang.
“Kita sedang membuat perancangan untuk Shahrel Fikri boleh beraksi dalam tempoh 90 minit sekali gus memainkan peranan lebih besar sebagai peneraju jentera serangan pasukan.
“Persiapan untuk dia dijangka akan dapat dilakukan ketika rehat iaitu selepas perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman (Kedah) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 28 April nanti.
“Selepas perlawanan itu, saya rasa kita akan dapat persiapkan beliau untuk dia dapat beraksi bagi 90 minit permainan, berbanding ketika ini sebagai pemain gantian,” katanya menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, Devan turut menganggap kehadiran Shahrel sangat penting buat pasukan untuk menangani isu yang dihadapi kelab tersebut iaitu kekurangan dalam menghasilkan gol.
SHAHREL FIKRI IS A JANG!
Pemain penyerang, Shahrel Fikri kini sah menjadi sebahagian daripada keluarga Negeri Sembilan FC. pic.twitter.com/ZAm2QtwYES
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) January 8, 2023
“Shahrel Fikri memiliki watak penyerang yang baik kerana dia sentiasa fokus untuk menjaringkan gol setiap kali beraksi, malah pergerakannya dalam kawasan gol lawan sering mengelirukan pihak lawan.
“Setiap kali dia bermain keupayaannya menjaringkan gol adalah tinggi, malah dia juga boleh menjaringkan gol dalam situasi sukar,” katanya lagi.
Musim ini menyaksikan Shahrel sudah pun meledak dua gol serta satu bantuan jaringan dengan memberi impak yang cukup besar menerusi kelincahan beliau untuk bergandingan bersama Casagrande di posisi serangan.