Harapan Liverpool untuk mengejar kedudukan empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) nampaknya semakin kabur selepas ditewaskan Manchester City 4-1.
Aksi berkelas dunia Jack Grealish mewarnai aksi di Stadium Etihad yang menyaksikan penyerang England tersebut menyumbang satu gol dan satu bantuan jaringan bagi memastikan pasukannya terus menghambat Arsenal di persada liga.
Ketiadaan penyerang utamanya Erling Haaland yang sudah menyumbat 42 gol sepanjang musim ini nampaknya langsung tidak mengganggu rentak permainan City meskipun terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan pendahuluan Mohamed Salah pada minit ke-17.
Julian Alvarez menyamakan kedudukan buat tuan rumah 10 minit kemudian selepas menerima hantaran lintang Jack Grealish untuk mengakhiri babak pertama dengan keputusan 1-1.
Hanya 53 saat selepas rehat, Kevin de Bruyne mudah menolak masuk hantaran lintang Riyad Mahrez dari sebelah kanan untuk meletakkan City di hadapan.
Tujuh minit kemudian giliran kapten Ilkay Gundogan mencatat nama selaku penjaring gol sebelum Grealish melengkapkan persembahan gemilangnya dengan jaringan keempat.
Ia merupakan kekalahan kesembilan Liverpool sepanjang musim ini dan skuad kendalian Jurgen Klopp itu kekal buat sementara waktu di kedudukan keenam liga dengan 42 mata selepas mengharungi 27 perlawanan.
City pula kini hanya lima mata di belakang Arsena dan 14 mata mengatas Manchester United di tangga ketiga.