Penyerang Kuala Lumpur City (KL City), Herlison Caion tekad mahu menumbangkan bekas pasukannya iaitu Selangor dalam aksi Pertembungan Lembah Klang yang dilangsungkan malam ini.
Menentang Selangor malam ini di Cheras, Caion memasang tekad untuk menjaringkan gol serta mengalahkan pasukan yang pernah diwakilinya pada tahun lalu.
Namun begitu, Caion mahu menjaringkan gol bukanlah kerana ianya adalah berdepan dengan Selangor tetapi tugasnya sebagai penyerang.
“Semestinya, saya ingin menjaringkan gol bukan kerana Selangor adalah bekas pasukan saya. Tetapi kerana saya seorang penyerang.
“Ada perlawanan yang saya tidak menjaringkan gol. Semestinya, saya mahu jaringkan gol, saya perlu jaringkan gol kerana saya mahu bertarung dengan pemain-pemain hebat lain bagi merebut gelaran penjaring terbanyak.
“Saya mahu menikmati perlawanan ini dan menjaringkan gol untuk pasukan,” kata Caion kepada MFL.
Dalam masa yang sama, Caion juga berasakan pengalaman beraksi untuk Selangor sebelum ini akan membantu dirinya serta KL City dalam misi memperoleh kemenangan.
Bagi Caion, beliau tahu banyak benda mengenai Selangor dan ini akan membantu Warga Kota untuk merebahkan Gergasi Merah.
“Semestinya, saya bermain dengan mereka selama setahun jadi saya tahu banyak perkara yang jurulatih mereka gunakan untuk pasukan.
“Jadi saya boleh berikan sesuatu [info] kepada Bojan Hodak untuk membantu pasukan dalam perlawanan ini,” tambah Caion lagi.
KL City mengharungi fasa permulaan liga dengan hanya mengutip tiga mata sahaja daripada empat perlawanan.
Mereka ketinggalan tujuh mata dibelakang Selangor yang mempunyai 10 mata dengan Gergasi Merah sudah bermain lebih satu perlawanan.