Kuching City terus dihantui kekalahan kali kedua berturut-turut, selepas mereka menjadi mangsa buat Sabah pula di laman sendiri menerusi keputusan penuh 1-2.
Beraksi di Stadium Negeri, jelas Kuching City gagal menggunakan kelebihan tersebut untuk mencipta kebangkitan, walaupun mereka memiliki banyak peluang untuk mendapatkan gol.
Sabah FC meraih kemenangan ketiga berturut-turut!#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/zzWWg4lKlx
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 6, 2023
Dua gol pelawat dijaringkan oleh penyerang import mereka iaitu Saddil Ramdani dan Telmo Ferreira Castanheira, sementara Kuching City hanya memperoleh satu gol menerusi Abu Kamara.
Pada perlawanan tersebut, struktur permukaan padang jelas sangat mengecewakan, selepas ada takungan air yang menyebabkan pergerakan kedua pasukan sering terbatas untuk mencipta sesuatu.
Menerusi aksi ini, jelas Kuching City mempunyai banyak lagi kelemahan yang dikesan dan segalanya perlu diatasi pada masa akan datang untuk mengelakkan mereka terus dirundung kekalahan.
Pertahanan yang terlalu rapuh
Masalah utama dimiliki Kuching City sejak perlawanan lalu masih lagi berulang, dengan pertahanan mereka tampil dengan sangat longlai sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
Selain Aylton Alemao yang bertindak dengan baik, pemain lain jelas tidak dapat memberi persembahan lebih baik untuk mematikan ancaman pasukan lawan.
Tambahan pula, posisi pertahanan kanan dan kiri Kuching City begitu mudah diatasi lawan sehingga beberapa gerakan berbahaya dapat dicetuskan oleh pasukan pelawat.
Situasi juga menyaksikan Darren Lok, Saddil Ramdani, serta beberapa lagi barisan serangan pelawat tidak begitu menghdapi kesukaran untuk membentuk kombinasi permainan menarik bagi mengatasi pertahanan lawan.
Kualiti dan pengalaman pemain tempatan
Salah satu perkara yang membezakan Kuching City dan Sabah ialah menerusi kualiti para pemain dimiliki pasukan masing-masing untuk dibawa turun dalam kesebelasan utama.
📸 Aksi Liga Super 2023 – LS3
Kuching City FC 1-2 Sabah FC#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/1FsTwWRq0a
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 6, 2023
Faktor pengalaman yang ada pada pemain Sabah menyebabkan mereka dapat menyusun atur permainan dengan lebih baik serta tampil bertenang untuk menghadapi tekanan.
Sebaliknya pula berlaku buat tuan rumah, selepas banyak pergerakan mereka disekat dan gagal untuk lebih bertenang ketika mereka mengawal permainan.
Kualiti hantaran serta kreativiti permainan
Kuching City boleh dikatakan hilang daripada segi sentuhan kreaviti dalam permainan yang menyebabkan mereka gagal untuk mendapatkan lebih banyak gol.
Hanya Abu Kamara sahaja lebih banyak bergerak dalam menyusun atur gerakan bagi mendapatkan sesuatu positif, selebihnya kerap membuat hantaran sia-sia ke hadapan.
Setelah kemasukan seorang lagi pemain import iaitu Abdallah Sudi, baru posisi serangan Kuching City tampil lebih konsisten dalam menjana serangan.