Pendatang baharu Liga Super 2023, Kelantan FC meraih kemenangan sulung mengatasi Penang FC 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Dua layangan kad merah dan dua gol menghiasi kemenangan sulung The Red Warriors ini, namun tiga mata pertama ini sudah cukup buat mereka.
Kelantan telah menampilkan permainan yang lebih agresif dalam memburu jaringan gol sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan pengadil. Seawal minit ke-2 tuan rumah sudah cuba mengasak menerusi percubaan pemain sayap, Fazrul Amir yang dengan tenang diselamatkan penjaga gol, Shafiq Afifi.
Begitupun, ia masih aksi yang seimbang antara kedua-dua pasukan apabila Penang pula hadir bagi menguji kubu yang dikemudi Charli de Murga. Dua percubaan Giovane Gomes gagal menemui sasaran di minit ke-6 dan ke-9.
Penang merombak jentera tengah apabila tiada kelibat Ousmane Fane dengan An Sae-hee diletakkan sebagai gandingan Adriano. Rahmat Makasuf dan Hadin Azman juga tidak diturunkan dengan Amer Azahar dan Nur Izzat Che Awang telah diturunkan di jentera sayap Harimau Kumbang.
Beraksi di halaman sendiri memberikan kelebihan buat Kelantan apabila meledak gol pembukaan menerusi tandukkan deras Ismaheel Akinade yang menerima hantaran lintang Ghaffar Abdul Rahman pada minit ke-22.
Lima minit sebelum itu, pelawat sepatutnya memanfaatkan peluang, namun percubaan pemain sayap, Amer jauh melewati palang gol tuan rumah.
Sekali lagi Penang melepaskan peluang pada minit ke-31 apabila Gomes gagal mengawal bola dengan baik di depan gol selepas menerima bola secara mengejut daripada Amer. Benteng The Red Warriors berjaya mengeluarkannya sebelum sempat lawan memanfaatkan peluang.
Kelantan terus di depan dengan jaringan kedua menerusi Fazrul yang sudah beberapa kali sebelum itu mengasak benteng pelawat. Minit ke-36, hasil hantaran lintang Ghaffar gagal dikeluarkan dengan kemas oleh benteng sebelum disambar Fazrul dengan rembatan deras menggegar jaring.
Minit ke-40, Adriano melepaskan rembatan tersasar selepas sepakan percumanya terkena benteng tuan rumah. Penjaga gol mereka, Nik Mohd Amin dilihat langsung tidak diuji oleh barisan serangan Harimau Kumbang.
Penang dilihat pantas membuat rombakan drastik di awal babak kedua dengan memasukkan Rahmat Makasuf, Hadin Azman dan Soony Saad.
Walaupun memberi sedikit impak dengan perubahan pemain tersebut, Kelantan masih berjaya mencuri ruang. Minit ke-49, Cifu hampir meledak gol ke-3 buat mereka namun rembatan derasnya diselamatkan oleh Shafiq.
Bek tengah, Christian Rontini dilayangkan kad kuning kedua dan kad merah apbila dikesan sengaja menarik Soony Saad pada minit ke-67. Tetapi tidak sampai seminit kelebihan pemain dimiliki pelawat, giliran Soony pula menerima nasib yang sama apabila didapati menyiku Mario Arques.
Minit ke-74, Nik Mohd hanya terpaku melihat sepakan percuma Adriano terkena palang golnya sebelum menyelamatkan tandukkan Gomes.
Nik Mohd sekali lagi berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dirobek pelawat apabila menepis rembatan Rahmat Makasuf di penghujung aksi.
Perlawanan kekal dengan kedudukan 2-0 sehingga ke wisel penamat dan Penang terpaksa pulang hampa ke Pulau Mutiara tanpa gol dan mata. Sementara Kelantan menggembirakan penyokong mereka di Kota Bharu dengan kemenangan sulung di pentas Liga Super selepas tiga aksi.