Turun berdepan Kedah Darul Aman, PDRM FC memang sudah menanti sesuatu yang positif selepas membuat analisa sebelum perlawanan.
Ini turut dibantu dengan prestasi dan momentum pasukan yang semakin mendapat rentak apabila melalui dua perlawanan – tewas 0-4 kepada Sabah FC dan terikat tanpa jaringan ketika melayan kunjungan Perak FC.
“Kita tahu, sejak perlawanan pertama berdepan Sabah, intensiti kita agak baik, kemudian Perak dengan intensiti yang lebih baik,” ungkap pengendali, Azzmi Aziz dalam sidang media selepas perlawanan Liga Super 2023.
“Dan hari ini kita bersedia untuk sesuatu yang lebih baik dan kita percaya pasukan sudah ‘pick-up’ dengan momentum selepas melalui selang dua, tiga hari perlawanan. Jadi, kita sedia untuk tengok keputusan yang begini. Dan ia berhasil hari ini.” tambahnya lagi yang jelas gembira dengan keputusannya.
PDRM telah mengatasi cabaran Kedah di Stadium Darul Aman dengan keputusan 1-0, hasil gol tunggal Bruno Suzuki di minit ke-75 perlawanan.
📹 HIGHLIGHTS: @kda_fc 0-1 @officialpdrmfc
PDRM FC mengejutkan Kedah Darul Aman FC untuk kemenangan pertama musim ini hasil jaringan Bruno Suzuki pada minit ke-75.
👉 https://t.co/7a8D3kTOk9#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/jgVfNvPJ6B
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 4, 2023
Bagi Kedah mungkin PDRM dilihat bakal menjadi lubuk jaringan dan mata percuma buat mereka, tetapi dengan analisa, segalanya telah berubah.
Kekalahan Sang Kenari ini menjadi punca segelintir penyokong naik angin dan menunggu pengadil di luar stadium selepas menuduh pengadil menjadi punca segalanya. Ia kekalahan yang pahit untuk ditelan para penyokong, malah turut mengejutkan para pemerhati bola sepak tempatan yang lain.
Malah, ini adalah kemenangan pertama The Cops ke atas Kedah selepas kali terakhir ia dilakar pada musim 2014 – kira-kira sembilan tahun lalu.
Mungkin ada yang mengatakan ia nasib, tetapi Azzmi tidak mahu terlalu fikirkannya. “Buat masa ini, saya tak mahu fikir ia nasib atau tidak. Kita nak ‘enjoy’ tiga mata ini dahulu,” ungkapnya tentang kenyataan menang nasib.
“Keseluruhannya, kita tahu Kedah sangat baik, saya tidak nafikan perkara itu. Kita tahu mereka sangat selesa dengan bola. Kita punya strategi datang ke sini untuk cuba bermain ‘counter-attack’. Mereka sangat stabil, jadi tak mudah juga hendak ‘counter-attack’ pun,” tambahnya kepada pihak media.
“Kita akuilah bukan mudah nak menang di Alor Setar melawan pasukan yang sangat baik, tapi kita berazam untuk mendapatkan mata di sini, sebab kita percaya dalam bola sepak tiada yang mustahil,” tegas Azzmi mengenai strategi pasukannya untuk turun berdepan pasukan yang ampuh sebegini.
“Kita analisa dan tengok perlawanan Kedah dengan Terengganu sebelum ini. Kita cuba kawal dia punya serangan dan Alhamdulillah dapat gol dan tiga mata,” jelasnya lanjut lagi dan berpuas hati dengan komitmen pemain.
Untuk rekod jua, Azzmi merupakan bekas pengendali interim Kedah pada Ogos hingga Oktober 2018, sebelum kehadiran Aidil Sharin Sahak.
Mereka akan berdepan satu lagi tugas besar pada Sabtu depan apabila akan berkunjung ke Kuala Terengganu untuk berdepan Terengganu FC.