Negeri Sembilan dan Sri Pahang terpaksa berpuas hati pada aksi pertama mereka dalam saingan Liga Super 2023, setelah masing-masing sekadar terikat seri 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.
Pada perlawanan tersebut, Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka jaringan pertama permainan menerusi penyerang import baharu mereka dari Brazil iaitu Casagrande.
Negeri Sembilan FC dan Sri Pahang FC berkongsi mata di Paroi.#LigaSuper2023 pic.twitter.com/PCl7sKR7s8
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 26, 2023
Pelawat pula memperoleh gol penyamaan di awal separuh masa kedua hasil jaringan pemain gantian mereka iaitu Malik Mat Ariff untuk menghidupkan kembali peluang.
Awal perlawanan menyaksikan kedua pasukan saling seimbang menguasai permainan dengan masing-masing saling berbalas serangan untuk mendapatkan gol awal.
Selepas lima minit perlawanan berlangsung, Sri Pahang mula menaikkan intensiti permainan mereka menerusi tekanan-tekanan diberikan mereka untuk pertahanan Negeri Sembilan.
Pasukan tuan rumah jelas sangat berdisiplin untuk mengawal pergerakan pasukan lawan dengan sentiasa menunggu masa sesuai untuk melancarkan setiap serangan.
Sesekali Sri Pahang tampil dengan beberapa gerakan berbahaya untuk mendapatkan gol awal perlawanan, namun ianya dihalang dengan baik oleh barisan pertahanan tuan rumah.
Hasil kesabaran Negeri Sembilan jelas berbaloi, selepas mereka berjaya mendapatkan gol pertama permainan menerusi tonggak penyerang import mereka iaitu Casagrande pada minit ke-20.
📸 Aksi Liga Super 2023 – LS1
Negeri Sembilan FC 1-1 Sri Pahang FC#LigaSuper2023 pic.twitter.com/BEZtF2oeIS
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 26, 2023
Menyedari ada kelemahan di posisi serangan, Fandi Ahmad terpaksa membawa masuk khidmat pemain sayap lincah iaitu Abdul Malik Ariff untuk menggantikan khidmat Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-33.
Kpah Sherman hampir mendapatkan gol penyamaan untuk pasukan pelawat, namun percubaan penyerang tersebut dapat diselamatkan dengan begitu baik oleh Sikh Izhan untuk menepis keluar pada minit ke-45.
Izham Tarmizi terpaksa digantikan pada penghujung separuh masa pertama selepas beliau mengalami kecederaan yang agak teruk hasil perlanggaran bersama pemain serangan tuan rumah, dan Zafif Irfan dibawa masuk selaku penjaga gol gantian.
Pada separuh masa kedua, Sri Pahang meningkatkan asakan mereka untuk mendapatkan kembali gol penyamaan yang dicari.
Hasilnya, pemain gantian iaitu Malik Ariff berjaya mendapatkan gol yang dicari pada minit ke-48 menerusi tandukan kencang untuk menewaskan Sikh Izhan.
Kemasukan Malik Ariff jelas mengubah atmosfera serangan Sri Pahang yang dilihat tampil lebih baik berbanding aksi mereka di separuh masa pertama menerusi kelincahan diberikan.
Sikh Izhan terus mempamerkan karakter positif beliau, selepas peluang keemasan yang dimiliki Sri Pahang menerusi Malik Ariff berjaya dihalang penjaga gol tersebut dengan sangat cemerlang pada minit ke-78.
Keputusan perlawanan kekal tamat dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati untuk mengumpul satu mata sahaja dalam aksi pertama mereka dalam saingan Liga Super.
Tamat perlawanan. Skuad Jang seri 1-1 pada perlawanan menentang Sri Pahang FC.
Skuad jang berkongsi 1 mata pada perlawanan pertama pada malam ini. #NSESRP#NSFC#HobinJangHobin pic.twitter.com/BGPqeubatb
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) February 26, 2023
Walaupun tampil dengan aksi yang serba baik berbanding lawan di separuh masa kedua, Sri Pahang gagal untuk menoktahkan banyak peluang terhidang sehingga terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.
Kesebelasan utama
Negeri Sembilan: Sikh Izhan Nazrel (Penjaga Gol), Che Rashid, Tommy Mawat, Herold Goulon, Levy Madinda, Zainal Abidin Jamil, Nasrullah Haniff (Kapten), Mahalli Jasuli, Safuwan Baharudin, Hasbullah Abu Bakar, Casagrande
Sri Pahang: Izham Tarmizi (Penjaga Gol), Michael Glassock, Kpah Sherman, Baqiuddin Shamsudin, Stefano Brundo, Nor Azam Azih, Azwan Aripin, Fadhli Shas (Kapten), Azrif Nasrulhaq, David Rowley, Nicholas Swirad