Pengendali Penang FC, Chong Yee Fatt berkata di sidang media, tiada ‘team-talk’ luar biasa sepanjang di bilik persalinan yang menjurus kepada kebangkitan para pemainnya ketika terikat 2-2 menentang KL City FC.
Dalam aksi sulung kedua-dua pasukan itu, KL City sebenarnya memiliki kelebihan dengan barisan pemain yang lebih baik selain beraksi di halaman sendiri, malah turut dibantu dengan lawan yang terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas bek kanan, A Namathevan diarahkan keluar padang.
Belum sampai sejam perlawanan berlangsung, Penang dihukum beraksi dengan kurang seorang pemain apabila Namathevan dilayangkan kad kuning kedua dan akibatnya beliau terpaksa meninggalkan padang.
Tetapi, ia tidak dimanfaatkan langsung oleh anak didik Bojan Hodak apabila melepaskan dua gol selepas itu untuk Harimau Kumbang membawa balik satu mata berharga waima boleh diibaratkan turun serba ‘tempang’.
Babak pertama berakhir dengan kedudukan 1-0 buat The City Boys apabila pemain naturalisasi terbaharu mereka, Paulo Josue mencipta jaringan menarik menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti di minit ke-14.
Penjaga gol pelawat, Shafiq Afifi wajar diberikan kredit atas beberapa aksi menyelamat yang memberikan mereka sedikit ‘insurans’ malam tadi.
Antaranya rembatan deras oleh dua pemain iaitu Romel Morales di babak pertama serta Haqimi Azim Rosli di babak kedua yang membuatkan KL City terus berasa tertekan untuk memikirkan cara bagi merobek gawang.
Minit ke-71, Josue sekali lagi meledak gol menerusi percubaan luar kotak penalti yang memperdaya Shafiq Afifi di gawangnya untuk mereka dua gol di depan. Tiada sebarang cabaran diberikan oleh pertahanan lawan.
Dan disinilah kebangkitan luar biasa Penang tercipta untuk bangkit semula.
71' KL City 2-0 Penang. Penang bermain dengan 10 orang pemain.
85' KL CITY 2-2 PENANG!#LigaSuper2022 pic.twitter.com/lX6pXqdH8L
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 25, 2023
Hanya dua minit diperlukan pasukan pelawat untuk merapatkan jurang gol selepas bekas pemain mereka musim lalu, Hadin Azman menjaringkan gol mudah hasil hantaran Soony Saad yang terbias dari pertahanan lawan.
Apa yang digusarkan Bojan akhirnya tiba pada minit ke-85, apabila kepala Giovane Gomes berjaya menewaskan Kevin Mendoza. Tandukkan padunya terhasil selepas menerima hantaran lintang bek kanan, Faris Shah Rosli.
Mungkinkah terdapat sebarang ‘team-talk’ berkesan dibuat oleh Yee Fatt?
“Sebenarnya, tiada pun [arahan istimewa]. Walaupun kita ketinggalan di babak pertama, saya hanya meminta para pemain untuk teruskan cara pemainan mereka. Pendekatan kami masih sama. Mental harus kekal kuat. Cuma pergerakan di jentera depan perlu dibanyakkan,” ujar Yee Fatt.
“Tidak mudah berdepan KL City yang memiliki pemain-pemain berkualiti dan ia satu mata yang maha besar buat Penang,” tegasnya lagi tentang lawan.
“Semuanya tentang mentaliti pemain. Sebelum kita turun ke sini, saya dapat lihat dalam beberapa sesi latihan di Pulau Pinang para pemain semakin positif dan sangat bermotivasi. Ini buat saya yakin kita mampu membawa pulang mata malam ini,” jelasnya tentang keadaan skuad kendaliannya.
Ditanya tentang bagaimana mungkin reaksi rakan pengendali, Manzoor Azwira yang masih tidak dapat bersama pasukan kerana berada di Eropah untuk kursus Lesen AFC Pro Diploma, Yee Fatt sekadar ketawa kecil.
“Saya harap dia [Manzoor] gembira dan berpuas hati dengan satu mata ini ditambah situasi pasukan [beraksi kurang pemain],” ungkapnya.